KISAH misteri lagi menyeramkan sememangkan akan dikenang sampai bila-bila oleh mereka yang mengalaminya.
Itu yang terjadi kepada seorang lelaki Orang Asli Menderu Serama daripada suku Bateq yang masih trauma selepas kejadian menimpanya pada bulan Ogos 2019 yang dikejar jelmaan kawanan gajah liar di Lubuk Lompat, Jeram Panjang, Jerantut, Pahang.
Mujur dia sempat bersembunyi di banir pokok tualang dan gajah-gajah itu berlalu begitun sahaja kerana gagal menemuinya.
Kawanan gajah liar tersebut dianggap ‘semangat’ hutan yang ingin menguji keberaniannya.
KISAH misteri seorang lelaki Orang Asli bernama Menderu a/l Serama, 48, daripada suku Bateq dikejar jelmaan kawanan gajah liar di Lubuk Lompat, Jeram Panjang di Sungai Tembeling, Jerantut masih meletak di benak rakannya Afzal Abd. Aziz, 40.
Kedua-dua mereka bekerja sebagai pemandu alam sekitar (nature guide) di Taman Negara Kuala Tahan.
Menurut Afzal, pada masa kejadian bulan Ogos 2019, rakannya itu turun mandi di lubuk tersebut yang terletak kira-kira 20 minit menaiki bot dari jeti Kuala Tahan kerana tidak tahan dengan cuaca yang terlalu panas.
Katanya, kawasan penghujung jeram yang dikenali sebagai Lubuk Lompat itu sesuai dijadiakn tempat mandi-manda, berenang dan memancing ikan liar dan ramai pelancong Barat kerap turun mandi dan berenang dengan menggunakan tiub tayar kenderaan (tubing).
Ujarnya, ketika mandi dan mengapungkan badannya hampir 10 minit, dia tidak perasan apa yang ada di dalam air. Tidak lama selepas itu, dia terkejut mendengar bunyi semburan air berdekatan.
“Rupa-rupanya seekor gajah liar turut mandi di situ sambil menyemburkan air ke badannya menggunakan belalai.
“Menderu tidak perasan kehadiran gajah itu ketika turun mandi, mungkin haiwan itu menyelam dan badannya terlindung dengan batu besar yang ada di situ.
“Mungkin melihat manusia cuba mengganggunya, gajah liar itu berenang ke arah Menderu,” katanya.
Ujar Afzal, rakannya itu memang takutkan gajah dan berenang ke tebing sebelum membuka langkah seribu untuk menyelamatkan diri.
Ketika Menderu berlari, gajah liar itu turut naik ke tebing dan mengejarnya.

Sambil berlari, Menderu menjerit meminta tolong, ditambah pula dengan bunyi trumpet (nguaman) gajah liar bergema kuat di hutan Taman Negara sehingga menakutkan satwa (binatang) lain.
Apa yang menghairankan, apabila Menderu menoleh ke belakang, dia nampak bukan seekor, tetapi terdapat kawanan gajah liar mengejarnya.
“Ia menjadi satu misteri kerana semakin Menderu lari, semakin dikejar kawanan gajah tersebut yang seolah-olah begitu marahkannya.
“Dalam keadaan ketakutan, tidak semena-mena Menderu tersadung akar pokok tualang dan menjerit kesakitan.
“Dia kemudian bersembunyi di bawah banir pokok yang berusia ratusan tahun itu tanpa dilihat oleh gajah liar tersebut.
“Mujurlah ‘kawanan’ gajah liar itu buntu mencari Menderu lalu mengalih laluan ke arah lain dan bunyi ngauman haiwan itu sayup kejauhan di dalam hutan,” katanya.
Ujar Afzal, dia dan seorang lagi rakan yang hampir separuh hari menunggu Menderu untuk membawa pelancong akhir keluar mencarinya dan menjumpainya bersembunyi di sebuah banir pokok Tualang.
Ketika ditemui, Menderu menceritakan apa yang terjadi ke atas dirinya itu dan hairan dari mana datangnya kawanan gajah liar yang mengejarnya.
“Awak ini bermimpi kot. Kami hanya terserempak dengan seekor gajah sahaja ketika mencari awak.
“Mana ada kawanan gajah lain. Memang tabiat awak sangat penakut dengan gajah. Peristiwa ini sebenarnya hendak menguji semangat awak,” ujar Afzal.
Menderu yang dalam keadaan lemah dibawa pulang dengan menaiki bot penambang ke rumahnya di Kampung Aur.
Peristiwa itu tidak dapat dilupakan dan sehingga ini dia tetap takut dan menjadi badi kisah dikejar dengan gajah liar.
















