fbpx

Wanita didakwa 16 pertuduhan tipu rakan sekerja sertai pelaburan emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis mengiringi Nurfatin Natasha (kanan) yang didakwa atas 16 pertuduhan menipu pelaburan emas tidak wujud di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Seorang pembantu perawatan kesihatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 16 pertuduhan menipu rakannya sehingga mengalami kerugian sebanyak RM61,050 dengan menawarkan pelaburan emas yang tidak wujud, hujung tahun lalu.

Tertuduh, Nurfatin Natasha Abdullah, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut kesemua pertuduhan, Nurfatin Natasha didakwa menipu rakan sekerjanya, Aida Masirah Mohd. Salleh, 51, dengan cara memperdayakan wanita itu melalui tawaran pelaburan emas yang tidak wujud.

Tertuduh didakwa dengan curang mendorong mangsa untuk membuat transaksi pemindahan wang berjumlah antara RM500 hingga RM20,000 ke dua akaun bank miliknya.

Kesalahan itu dilakukan oleh Nurfatin Natasha di HUSM, Kubang Kerian di sini dalam tempoh 25 November 2021 sehingga 21 Disember 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukan hukuman penjara minimum setahun dan tidak lebih 10 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nurul Hanini tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana wanita itu melakukan kesalahan yang melibatkan kes penipuan.

Nurfatin Natasha dalam rayuannya memohon satu ikat jamin yang rendah diberikan kepadanya atas 16 pertuduhan itu.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM16,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar jumlah ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI