ALOR SETAR – Beberapa faktor dikenal pasti sebagai punca pembahagian harta menjadi lebih rumit dan sukar dilakukan termasuklah perselisihan pendapat antara ahli keluarga selain pengurusan lewat oleh waris kepada pemilik harta yang telah meninggal dunia dalam tempoh yang lama.
Peguam Syarie, Adilah Salleh dari Tetuan Adilah Salleh & Associate berkata, pihaknya kerap kali berhadapan dengan individu yang bertelagah ketika pengurusan pembahagian harta, sehingga ada yang menumbuk meja kerana tidak berpuas hati.
“Jika kami berdepan dengan situasi sebegini iaitu melibatkan pergaduhan antara keluarga, maka saya akan cuba selesaikan secara psikologi dengan membiarkan mereka meluahkan rasa hati masing-masing.
“Ada yang mendakwa arwah bapa beri lebih harta kepadanya kerana dia adalah anak kesayangan, sehingga mencetuskan perbalahan antara ahli keluarga yang lain.
“Cara untuk menyelesaikan situasi ini adalah menggunakan kaedah psikologi supaya ia berjalan lancar,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Adilah juga mengakui, pihaknya pernah menguruskan pembahagian harta yang mana pemiliknya telah meninggal dunia sejak 99 tahun lalu iaitu pada tahun 1923.
“Kes-kes seperti ini akan menyebabkan jumlah pewaris bertambah dan ada yang sudah melalui 36 lapis kematian dengan 164 pewaris kerana harta pusaka itu sudah diturunkan dari generasi ke generasi.
“Ada juga yang datang kepada saya tanpa sebarang dokumen berkaitan tanah sehingga menyebabkan saya meminta mereka mendapatkan semua bukti termasuk mengambil maklumat pemiliknya seperti nama dan tarikh kematian pada batu nisan,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan, permohonan pembahagian harta pusaka yang diterimanya semakin bertambah dari tahun ke tahun.
“Masalah pembahagian harta pusaka ini berlaku atas banyak faktor antaranya tiada kesepakatan, ahli keluarga berbalah, tiada dokumen berkaitan dan ahli keluarga hanya menurunkan pewarisan secara mulut sahaja,” katanya.
Katanya, di Kedah, banyak kes pembahagian harta pusaka melibatkan tanah sawah yang diwarisi beberapa generasi tanpa ada sebarang dokumen rasmi pemilikan tanah.
“Kira-kira 90 peratus kes harta pusaka di Kedah adalah melibatkan tanah sawah,” ujarnya.
Tambahnya, urusan pembahagian harta pusaka sama ada melalui faraid atau muafakat perlu dibuat dengan segera selepas berlaku kematian.
“Saya tidak bersetuju dengan kata-kata tanah kubur masih merah, terus nak bincang bab harta.
“Itu salah, kerana tindakan menangguhkan pembahagian harta pusaka akan mengundang masalah lebih besar termasuk perbalahan keluarga,” katanya yang turut menawarkan khidmat nasihat percuma kepada orang ramai berkenaan isu tersebut.
Dalam pada itu, Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) mengakui, masalah pembahagian harta pusaka terutama membabitkan tanah sawah adalah serius dan perlu ditangani segera.
Setiausahanya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, kebanyakan kes di negeri ini adalah melibatkan tanah sawah dan antara punca berlakunya masalah itu adalah kurang kesedaran dan perbalahan sesama ahli keluarga.
“Apabila berlaku kematian, isu pembahagian harta pusaka ini tidak diberi perhatian serius kerana ada yang menurunkan pewarisan secara tidak rasmi iaitu menerusi perjanjian mulut sahaja.
“Keadaan itu boleh mengundang pelbagai masalah lain sehingga menyebabkan urusan pembahagian sukar dilakukan,” katanya.
Katanya, setiap pewaris juga perlu mengambil tahu tentang proses pembahagian harta pusaka bagi mengelak ditipu.
“Ada kes pewaris jual tanah sawah, namun wang diperoleh hasil jualan harta pusaka tidak diagihkan kepada pewaris lain.
“Isu harta pusaka ini sangat sensitif dan jika ada pewaris yang tak amanah, penipuan boleh berlaku dalam keluarga,” katanya.














