PENAMPANG – Seorang lelaki meninggal dunia ketika bermain bola sepak ketika pertandingan di Kompleks Sukan Penampang, dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa berusia 57 tahun yang bertindak sebagai penjaga gawang dikatakan tiba-tiba rebah sebelum tidak sedarkan diri ketika melontar bola.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, mangsa segera dibantu rakannya sejurus melihat kejadian itu.
“Sewaktu dibantu, kawan mangsa memaklumkan nadi mangsa masih berdenyut.
“Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.
“Pasukan bomba melalui Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang tiba di lokasi segera memberi bantuan pernafasan kepada mangsa sebelum menghantarnya ke Hospital Queen Elizabeth (HQE).
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di bahagian kecemasan HQE,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, jelasnya, punca kematian mangsa setakat ini belum dapat dikenal pasti dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). -KOSMO! ONLINE