AMPANG – Penduduk Taman Bukit Permai 2, dekat sini meluahkan rasa bimbang dan tidak lena tidur malam ekoran bimbang kejadian tanah runtuh akan berulang hingga menjejaskan kediaman meskipun sudah mengosongkan kediaman sejak kelmarin.
Pengusaha salon, Chia Nyok Moi, 58, berkata, kejadian itu menyebabkan dia dan keluarga hidup dalam keadaan trauma dan bimbang dengan keselamatan rumah yang diduduki lebih 10 tahun lalu.
“Setiap kali hujan, saya jadi takut jika berlaku tanah runtuh lagi dan kerap membayangkan jika runtuhan itu akan menenggelamkan rumah serta peralatan berharga.
“Kalau boleh saya tak mahu tinggalkan rumah ini terlalu lama kerana sudah selesa tinggal di sini bersama suami dan tiga anak. Akibat kejadian itu, kami sekeluarga terpaksa menumpang sementara di rumah kawan tidak jauh dari sini,” ujarnya ketika mengambil barang di rumahnya di lokasi kejadian di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Muhammad Syahir Malek, 26, berkata, dia bersama ibu bapa dan seorang adik terpaksa menumpang sementara di rumah ibu saudara di Seksyen 23, Shah Alam sehingga arahan selamat menduduki kediaman dikeluarkan pihak berkuasa.
“Kami bukan tak mahu tinggal di pusat pemindahan yang disediakan oleh pihak berkuasa di Dewan Taman Megah Jaya, tetapi kami rasa lebih selesa untuk tinggal di rumah ibu saudara.
“Kejadian runtuhan seumpama ini tak pernah berlaku sejak kami tinggal di sini tahun 2003 malah tanda-tanda ketara runtuhan juga tiada, mungkin sebab hujan lebat berpanjangan sejak kebelakangan ini menjadi antara punca,” katanya.
Jelasnya, setakat ini dia dan keluarga belum membuat sebarang perancangan kerana masih buntu dan trauma dengan insiden tersebut.
“Kami tunggu arahan pihak berkuasa selepas lima hari sama ada kediaman masih boleh diduduki atau sebaliknya. Jika tidak selamat, kami terpaksa mencari alternatif lain,” katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penghuni di 48 rumah terjejas di Taman Bukit Permai 2, dapat mengosongkan kediaman sekurang-kurangnya sehingga lima hari.
Katanya, pihak polis juga akan mewujudkan balai sementara di lokasi kejadian dan melakukan pemantauan 24 jam sehari bagi memantau situasi semasa. – KOSMO! ONLINE