BERLAKU satu fenomena unik di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi baru-baru ini yang menyaksikan sir surut penuh hingga menampakkan laut seolah-olah terbelah dua dan ia satu kejadian menarik dan memukau ramai orang.
Fenomena yang berlaku selama dua hari pada awal bulan ini berjaya menarik ratusan pengunjung untuk merasai sendiri pengalaman berjalan sehingga ke tengah laut.
Bagaimanapun, pengunjung hanya berpeluang menikmati pengalaman menyeronokkan itu selama sejam sebelum air mula pasang.
Pengalaman berjalan di atas beting pasir sehingga ke pulau yang berada di tengah laut sememangnya memberikan pengalaman menarik kepada pengunjung.
———————————————————————————————————————————————————–
FENOMENA air surut penuh di Pantai Tanjung Rhu di Pulau Langkawi sehingga menampakkan laut seolah-olah terbelah dua sememangnya cukup menarik dan memukau pandangan ramai.
Kejadian air surut penuh itu membolehkan pengunjung berjalan di atas beting pasir sejauh kira-kira 600 meter ke tengah laut dan menghampiri Pulau Cabang serta sampai di penghujungnya iaitu Pulau Kelam Baya.
Di sepanjang perjalanan, orang ramai berpeluang melihat pelbagai hidupan laut yang ‘terperangkap’ di dalam lopak air pada beting pasir tersebut antaranya ketam, sotong kurita, tapak sulaiman, deduit laut, obor-obor dan siput.
Namun begitu, pengunjung hanya berpeluang menikmati pengalaman menyeronokkan itu selama sejam sebelum air mula pasang.
Tahun ini, fenomena ‘laut terbelah’ itu berlaku pada tiga hari berlainan iaitu pada 3 Februari serta 3 dan 4 Mac lalu.

PEMANDANGAN menakjubkan apabila fenomena air surut penuh terjadi yang membolehkan orang ramai menghampiri Pulau Cabang sehingga ke penghujungnya di Pulau Kelam Baya.
Panorama turut berkesempatan menyaksikan keindahan fenomena itu pada 3 dan 4 Mac lalu.
Lebih 700 orang terdiri daripada penduduk tempatan dan pelancong tidak melepaskan peluang merasai sendiri pengalaman berjalan sehingga ke tengah laut pada dua hari berkenaan.
Pada 3 Mac, air surut pada pukul 7 pagi, manakala keesokan harinya surut pukul 7.31 pagi sebelum paras air laut meningkat sejam kemudian.
Menurut seorang pemandu pelancong alam semula jadi, Zoher Mustan, 57, fenomena tersebut sangat unik dan perlu dirasai oleh semua pelancong yang datang bercuti ke pulau legenda itu.
“Pengalaman berjalan di atas beting pasir sehingga ke pulau yang berada di tengah laut sememangnya memberikan pengalaman menarik kepada pengunjung.
“Sebahagian beting pasir ini tidak surut sepenuhnya dan memerlukan mereka meredah air untuk sampai ke penghujung laluan iaitu di Pulau Kelam Baya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Jelas Zoher, fenomena yang berlaku selama dua hari pada awal bulan ini berjaya menarik ratusan pengunjung untuk merasai sendiri pengalaman berjalan sehingga ke tengah laut.
“Mereka datang bersama keluarga dan kanak-kanak pula dilihat sangat teruja melihat hidupan marin di sepanjang laluan tersebut.

“Saya bagaimanapun menasihatkan pengunjung supaya tidak menyentuh atau membawa balik hidupan yang ditemui supaya tidak mengganggu kitaran alam semula jadi,” ujarnya yang telah membawa pengunjung ke lokasi itu sejak tahun 2008.
Menurutnya, pengunjung juga perlu bergerak pantas sekiranya mahu ke Pulau Kelam Baya kerana paras air akan mula meningkat dalam masa kira-kira sejam.
“Air akan cepat naik terutama berhampiran Pulau Kelam Baya, jadi pengunjung perlu cepat untuk sampai ke sana seterusnya berpatah balik.
“Jika air sudah mula pasang, anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang mengawal keselamatan di situ akan menasihatkan pengunjung beredar ke pantai. Selain itu, siren juga akan dibunyikan sebagai amaran air pasang,” jelasnya yang berasal dari Pulau Pinang dan menetap di Langkawi sejak 35 tahun lalu.
Pelancong dari Johor Bahru, Nasaruddin Embi, 56, berkata, dia sekeluarga bersiap seawal pukul 4.30 pagi untuk bergerak dari hotel di Pantai Chenang ke Pantai Tanjung Rhu.
“Ini merupakan pertama kali saya dapat merasai pengalaman berjalan di atas beting pasir sehingga ke pulau di tengah laut.
“Seronok sebab banyak hidupan laut yang masih hidup berada di sepanjang laluan beting pasir ini,” katanya.

ORANG ramai tidak melepaskan peluang bergambar semasa melalui beting pasir itu.
Seorang lagi pengunjung, Johnathan Azurin, 38, yang berasal dari Lahad Datu, Sabah berkata, dia bersama anak
lelakinya, Sayf Zaqwan, 7, mengambil kesempatan mencari siput berhampiran kawasan pantai yang surut.
“Ini merupakan kali kedua saya datang ke sini sempena fenomena air surut penuh ini. Selain berjalan atas beting pasir, saya dan anak cari siput untuk dimasak.
“Saya ada dapat siput tarik atau di sini dikenali sebagai siput gonggong yang banyak terdapat di Sabah. Siput ini biasanya dimasak secara rebus dan isinya dicicah dengan sambal,” katanya yang kini menetap di Langkawi.
Bagi seorang penduduk tempatan, Nurul Huda Hamid, 36, dia bangun seawal pukul 6 pagi kerana teruja untuk menyaksikan sendiri fenomena air itu yang dianggap berlaku setahun sekali.
“Selain fenomena air surut penuh, saya juga seronok kerana dapat melihat pemandangan matahari terbit yang indah dari sini,” katanya.
Dia pada masa sama berharap agar fenomena tersebut dijadikan tarikan pelancong dengan memperhebatkan lagi promosi pada masa akan datang.
“Saya juga berharap agar pengunjung yang datang dapat menjaga keindahan alam semula jadi dan kebersihan pantai sepanjang berada di sini,” tambahnya.






