PETALING JAYA – Seorang pelajar dari Pakan, Betong, Sarawak , Frank Steward Anak Sa, 21, yang sebelum ini tular mengenai gambarnya ketika sesi temuduga kemasukan ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kini menarik nafas lega apabila diterima belajar di institusi tersebut.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pihak UPSI hari ini, Frank Steward terharu dan berterima kasih kepada Intitusi Penagajian Tinggi Awam (IPTA) itu yang telah merealisasikan impiannya untuk melanjutkan pengajian di universiti pendidikan termasyhur tersebut.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan St. Augustine Betong, Sarawak itu melahirkan kegembiraan selepas diterima menjadi pelajar UPSI dan berazam untuk belajar bersungguh-sungguh.
“Saya berharap dapat mengikuti pembelajaran dengan baik dan menjadi pendidik yang berjasa untuk negara,” jelasnya.
Surat tawaran dari UPSI kepada Frank Steward yang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Moral) bagi sesi 2022/2023 bermula Mac itu disampaikan sendiri oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin.
Norkhalid berkata, UPSI sangat memahami dan bersimpati dengan masalah calon yang memohon memasuki UPSI, namun menghadapi masalah capaian internet seperti apa yang dialami Frank Steward.
Beliau berkata berbanding sebelum negara diserang Covid-19, semua temu duga diadakan secara bertulis dan bersemuka, namun berubah kepada secara dalam talian termasuk sistem Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) sejak Covid-19 melanda.
Dalam pada itu, Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md Taff berkata, UPSI komited dalam melahirkan bakal guru sesuai dengan fokus utama universiti menjadikan ‘UPSI No. 1 Pendidikan’.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Frank Steward yang memilih UPSI sebagai destinasi pengajian peringkat ijazah pertamanya dan berharap dapat belajar dengan bersungguh-sungguh untuk menjadi pelajar yang cemerlang.
“Tawaran itu memberi peluang untuk Frank Steward menjadi pendidik yang akan kembali berkhidmat di negeri kelahiran sekali gus dapat membantu mengubah nasib dan masa depan keluarga,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kisah pengorbanan bapa Frank Steward yang mendirikan khemah di kawasan Bukit Kelingkang agar mendapat capaian internet bagi membolehkannya menjalani temu duga secara dalam talian.
Bapanya, Sa Anak Ujom, 52, seorang petani dikatakan sanggup meredah jalan balak yang memakan masa dua jam perjalanan untuk mendirikan khemah berkenaan. – KOSMO! ONLINE.