APAKAH hukum membuat binaan seperti kepok di atas kubur?
Jawapan:
Sebelum menjawab persoalan ini, kita perlu sedar ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi s.a.w menuntut untuk kita melihat kubur sebagai tempat mengingatkan kepada kematian dan hari akhirat, bukan untuk kebanggaan. Kubur juga bukan menjadi tempat kesyirikan atau khurafat.
Maka dengan itu, pelbagai hadis yang mengandungi maksud-maksud tersebut telah diungkapkan Baginda Nabi s.a.w.
Antara hadis berkaitan, daripada Jabir r.a : “Rasulullah s.a.w melarang tajsis (plaster dengan kapur) kubur, duduk atasnya dan membuat binaan atasnya.” (Riwayat Muslim). Dalam riwayat ditambah (melarang) ditulis atasnya.
Perkataan tajsis merujuk kepada memplaster sesuatu dengan kapur atau gipsum. Ia bertujuan mencantik dan menghias kubur. Ia sesuatu dilarang dalam hadis ini. Demikian juga dilarang duduk dan membuat binaan atas kubur.
Al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) ketika mensyarahkan hadis ini dalam Sahih Muslim menyebut: “Kata tokoh-tokoh mazhab kami (Mazhab al-Syafii) perbuatan tajsis (memplaster) kubur makruh, duduk atas kubur adalah haram. Demikian (haram) bersandar padanya atau menyandar atasnya.
Adapun binaan atas kubur, sekiranya (tanah kubur) dalam pemilikan pembina, maka makruh. Sekiranya ia di perkuburan awam maka haram.
Ini telah dinaskan oleh al-Imam Syafii dan Ashab (tokoh-tokoh Mazhab Syafii). Berkata (al-Imam) al-Syafii dalam (kitabnya) al-Umm: “Aku melihat para imam di Mekah memerintahkan agar dimusnahkan apa yang dibina”. (al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim).
Dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, al-Nawawi menyebut: Berkata al-Imam al-Syafii dan tokoh-tokoh Mazhab al-Syafii “Dimakruhkan memplaster atau menulis nama si mati atau selainnya atas kubur, atau buat binaan atasnya.
Perkara ini tiada khilaf di sisi kami (Mazhab al-Syafii). Ini juga pendapat (al-Imam) Malik, (al-Imam) Ahmad, (al-Imam) Daud (al-Zahiri) dan majoriti ulama”. (5/298. Beirut: Dar al-Fikr).
Inilah pendapat yang muktamad dalam Mazhab al-Syafii seperti disebut Dr. Muhammad al-Zuhaili dalam karyanya al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i : “Disunatkan meninggikan kubur dengan kadar sekitar sejengkal supaya diketahui (kubur itu) maka dihormati dan diziarahi. Juga supaya tidak digali oleh sesiapa yang mahu menguburkan orang lain.”
Dengan itu membuat apa-apa binaan atas kubur sekurang-kurangnya makruh, dan Mazhab al-Syafii mengharamkannya jika di perkuburan awam.














