fbpx
Najib ketika tiba di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Najib, Mohd. Irwan gagal permohonan lepas tanpa bebas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah gagal dalam permohonannya supaya dilepas tanpa dibebaskan daripada  enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas menolak permohonan Najib dan Mohd. Irwan untuk melepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Dalam penghakimannya, hakim itu berkata mahkamah memutuskan menolak permohonan itu selepas menimbangkan hujahan peguam bela kedua-dua tertuduh dan hujahan pihak pendakwaan.

“Permohonan untuk dilepas tanpa dibebaskan hanya boleh dibenarkan jika pendakwaan tidak berhasrat meneruskan pendakwaan. Dalam kes ini, pihak pendakwaan bersedia dengan kes mereka…Hari ini cuma untuk pengurusan kes sahaja dan tarikh perbicaraan belum ditetapkan,” katanya.

Muhammad Jamil berkata, pendakwaan dalam kes itu bersedia dengan pertuduhan, bagaimanapun hanya tarikh perbicaraan belum ditetapkan oleh mahkamah.

Hakim itu menjelaskan, tarikh perbicaraan sebelum ini sudah ditetapkan selama 32 hari sekitar September dan Oktober 2021, bagaimanapun dilapangkan atas permohonan pendakwaan yang tidak dibantah oleh peguam bela.

Hari ini Najib dan Mohd. Irwan membuat permohonan supaya dilepas tanpa dibebaskan dengan alasan pertuduhan yang dipertuduhkan ke atas mereka sudah tergantung terhadap mereka selama tiga tahun setengah tanpa sebarang perbicaraan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi memaklumkan kepada mahkamah bahawa pendakwaan akan memanggil di antara 60 hingga 70 saksi untuk memberikan keterangan.

Sehubungan itu Muhammad Jamil menetapkan pada 1 hingga 4 April dan 8 hingga 11 April dan sepanjang Mei tahun depan bagi tarikh perbicaraan.

Pada masa sama, hakim itu juga memerintahkan pendakwaan menyerahkan senarai saksi dan dokumen berkaitan kes kepada peguam bela dua minggu sebelum perbicaraan bermula.

Dalam prosiding itu peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Najib berhujah, walaupun selepas didakwa empat tahun lalu, kes terhadap anak guamnya masih tergantung dengan perbicaraan belum lagi bermula.

Beliau berkata, pada masa sama proses penyerahan dokumen yang diminta pihaknya daripada pendakwaa n mengikut peruntukan Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah (KAJ) belum lagi selesai.

Pada 25 Oktober 2018, Najib, 68, dan Mohd. Irwan Serigar, 64, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Najib dan Mohd Irwan Serigar dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN