PENERBANGAN selama 45 minit dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor menuju ke Pulau Pangkor yang merupakan sebuah pulau peranginan popular di Perak itu seakan-akan tidak terasa.
Mana tidaknya, sepanjang perjalanan, mata Tengku Iskandar Mohd. Sanusi terasa sejuk apabila disajikan dengan pemandangan indah yang dilihat dari aras udara.
Malah, perjalanan pendek itu juga cukup selesa apabila dia tidak perlu bersusah payah menempah tiket feri atau kapal ke pulau memandangkan pesawat kecil yang dinaikinya itu terus mendarat di Lapangan Terbang Pangkor yang baru memulakan operasinya semula selepas ditutup.
“Saya berpeluang menaiki sebuah pesawat kecil yang terbang secara terus dari Subang ke Pulau Pangkor baru-baru ini untuk bercuti. Ia merupakan antara pengalaman paling menarik pernah saya alami,” kongsinya kepada K2.
Seorang lagi pelancong, Kim Huam, 29, pula berkata, dia menikmati percutiannya ke Pulau Redang, Terengganu pada awal bulan lalu dengan menaiki khidmat penerbangan pelancongan secara terus dari Subang itu.
“Terima kasih kepada juruterbang yang membawa saya ke Pulau Redang untuk percutian saya,” ujarnya.
Selepas sudah lama terkurung di rumah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat pandemik Covid-19, orang ramai memang sudah tidak sabar-sabar untuk memulihkan dan merancakkan aktiviti melancong dengan memulakan pelancongan domestik bagi merehatkan minda.

Menyedari hakikat tersebut, syarikat penerbangan SKS Airways Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Johor Bahru, Johor melancarkan percutian pantas ke tiga buah pulau dalam negara dengan menaiki pesawat DHC-6-300 Twin Otter.
Penerbangan pelancongan itu sudah pun beroperasi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah ke tiga buah pulau peranginan popular negara iaitu pulau bebas cukai di Perak, Pulau Pangkor, syurga selam skuba, Pulau Redang di Terengganu dan juga Pulau Tioman di Pahang.
Pengarah SKS Airways Sdn. Bhd., Datuk Rohman Ahmad dalam satu ucapan ketika merasmikan penerbangan sulung pesawat kecil itu pada Januari lalu berkata, ia momen yang cukup bermakna buat syarikat tersebut.
“Kami mengambil kesempatan untuk memenuhi permintaan perjalanan terpendam (pent-up travel demand) bagi perjalanan domestik dan bersiap sedia untuk perjalanan antarabangsa pula apabila sempadan negara dibuka semula kelak,” katanya.
Inisiatif memperkenalkan penerbangan secara terus dari lapangan terbang ke pulau-pulau peranginan dilihat sebagai satu usaha baik untuk memulihkan semula industri pelancongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Malah, ia juga dilihat sebagai pilihan tambahan bagi pelancong selain menaiki medium pengangkutan lain seperti bas dan feri untuk bercuti ke pulau-pulau peranginan.
Dengan adanya perkhidmatan penerbangan terus, sektor pelancongan pulau yang terpaksa ditutup pada musim tengkujuh dijangka dapat beroperasi seperti biasa.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang berpeluang menyertai penerbangan sulung SKS Airways ke Pulau Pangkor pada 25 Januari lalu, pelancaran itu merupakan indikasi sentimen positif pelanggan terhadap perjalanan udara terutamanya membabitkan perjalanan domestik.
“Malah, pada Oktober tahun lalu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mendedahkan satu tinjauan pengguna menunjukkan bahawa 60 peratus pengembara di negara ini memilih perjalanan melalui udara bagi laluan domestik,” katanya.
Antara faktor yang dinyatakan termasuklah kos perjalanan yang lebih rendah dan juga penjimatan masa.
Justeru, akses mudah ke pulau-pulau peranginan bebas cukai akan menjadi sesuatu yang dinantikan bagi perjalanan domestik selain memberikan nafas baharu kepada semua pengendali pelancongan tempatan di kawasan tersebut.
Pelancong berpeluang menaiki pesawat jenis Twin Otter Turboprop yang terkenal di seluruh dunia kerana keteguhan dan kebolehpercayaan dengan keupayaan Short Take Off and Landing (STOL) yang amat baik.
Ia boleh membawa 19 orang penumpang pada satu-satu masa dan merupakan salah satu pesawat serba boleh dan paling fleksibel yang pernah dibina.

Perjalanan dari Subang ke Pulau Pangkor sudah dilancarkan pada 25 Januari lalu, manakala penerbangan ke Pulau Redang pula dilancarkan pada 31 Januari lalu. Penerbangan ke Pulau Tioman pula akan dimulakan pada suku kedua 2022.
Terdapat 12 perjalanan berjadual setiap hari dengan kapasiti harian penuh seramai 228 penumpang.
Tambang bagi perjalanan sehala bermula daripada RM160.
Menurut Rohman, SKS Airways bukanlah sebuah pesawat tambang rendah, namun harganya berpatutan.
Syarikat penerbangan itu berkata, permulaan operasinya adalah untuk memberi tumpuan kepada pulau peranginan dan pantai yang dihubungkan ke bandar-bandar utama di Semenanjung Malaysia.
Malah, SKS Airways juga merupakan syarikat penerbangan pertama yang menerbangkan pesawat komersial ke Pulau Pangkor.
Pihaknya juga menyasarkan untuk mengembangkannya ke serantau Asia Tenggara dan selatan China dalam jangka masa panjang. Syarikat penerbangan itu juga akan menawarkan perkhidmatan kargo dan carter keluar dari lapangan terbang di Subang serta lapangan terbang Senai di Johor.














