fbpx
Dr. Shazril menunjukkan ringkasan carta mengenai penyakit kanser dan rawatannya di Hospital Pantai Sungai Petani, baru-baru ini.

‘Lebih percaya peniaga ubat, bomoh daripada pakar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Kebanyakan pesakit kanser didapati memilih perubatan alternatif berban­ding hospital kerana dimomokkan dengan prosedur rawatan kanser yang menyakitkan dan menyeksa mereka.

Pakar Perunding Onkologi dan Radioterapi Hospital Pantai Sungai Petani, Dr. Shazril Imran Shaukat berkata, banyak mitos mengenai perubatan kanser di hospital yang dihebahkan kepada masyarakat menyebabkan pesakit cenderung mengambil produk kesihatan diragui selain berjumpa dengan bomoh.

“Pesakit ditakutkan dengan mitos kononnya rawatan kanser di hospital menyakitkan, terpaksa melalui rawatan tidak perlu selain prosedur kemoterapi yang sangat mengganggu hidup dan menyeksa mereka (pesakit).

“Selain itu, ada juga pesakit yang tidak mahu menerima hakikat mereka mungkin menghidap kanser dengan berubat secara ‘kampung’,” katanya.

Menurutnya, pesakit juga mudah terperdaya dengan perubatan alternatif yang menjanjikan bulan dan bintang dalam menyembuhkan kanser.

“Pesakit biasanya akan mendapatkan rawatan daripada dok­tor selepas keadaan kanser berada pada tahap tiga atau empat setelah perubatan alternatif tidak berkesan,” ujarnya.

Menurutnya, pesakit lebih suka dengan perubatan alternatif kerana diakatakan tidak mempunyai kesan sampingan iaitu dengan hanya memakan suplemen atau cara hembusan dan menyapu air pada badan sahaja.

“Kita juga tidak menafikan ada pihak yang tidak beretika menggunakan nama perubatan Islam serta menjanjikan bulan dan bintang kepada pesakit berbanding menjadi lebih realistik, jujur dan amanah,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, terdapat pesakitnya yang meng­akui pernah mendapatkan rawatan daripada ‘bomoh kanser’, namun kembali mendapatkan rawatan di hospital selepas mera­gui kaedah perubatannya.

“Bomoh itu menggunakan ayam yang kononnya akan menjadi ‘korban’ dengan memindahkan penyakit kanser daripada pesakit kepada haiwan tersebut,” jelasnya.

Tambah Dr. Shazril, tiada ubat khusus untuk merawat semua jenis kanser dan pesakit perlu mendapatkan rujukan doktor bagi mengenal pasti ubat sesuai.

Katanya, ubat bagi rawatan kanser berharga antara RM100 hingga RM30,000 sebulan.

“Ada pesakit kanser yang boleh sembuh sepenuhnya terutamanya mereka di tahap satu, dua dan tiga.

Bagi pesakit tahap empat, ada segelintir atau kira-kira lima pera­tus yang boleh sembuh sepenuhnya dengan rawatan kemote­rapi, radioterapi, imunotera­pi dan terapi bersasar,” jelasnya.

Beliau berkata, rawatan imunoterapi memberi kesan baik dalam pengawalan sel kanser dan memanjangkan hayat pesa­kit menerusi kaedah suntikan drip setiap tiga minggu sekali.

“Harga bagi ubat imunoterapi itu dalam lingkungan RM15,000 hingga RM25,000 bagi sekali rawa­tan,” tambahnya.

Mengenai lambakan produk kesihatan yang mendakwa mampu menyembuhkan kanser, Dr. Shazril menasihatkan pesakit supaya lebih berhati-hati kerana terdapat peniaga membuat tuntutan perubatan melampau dengan meletakkan testimoni bagi meyakinkan pengguna berbanding ubat di hospital yang diuji keberkesanannya menerusi kajian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN