KUANTAN – Produk kosmetik keluaran Nurraysa Global Sdn. Bhd. (Nurraysa Global) di bawah jenama Nurraysa yang popular dengan konsep mesra wuduk telah didefinisikan sebagai produk kosmetik yang mudah dicuci agar ia tidak menghalang daripada air wuduk sampai ke kulit.
Pengasas syarikat, Nur Aini Zolkepeli berkata, produk yang telah berada di pasaran sejak tahun 2014 dengan tag line kosmetik mesra wuduk itu sebenarnya tidak memiliki silikon yang bersifat kalis air.
Katanya, melalui silikon, ia diibaratkan seperti plastik di atas kulit dan membolehkan solekan bertahan lebih lama di wajah dan susah di tanggalkan walaupun menggunakan sabun atau penanggal solekan.
“Dengan pemakaian produk kosmetik yang memiliki silikon, pengguna perlu mencuci kulit wajah dengan sebaiknya sebelum berwuduk kerana sekiranya ia tidak dicuci dengan sempurna, kemungkinan besar wuduk boleh jadi tidak sempurna dan solat tidak sah.

“Produk Nurraysa tidak memiliki silikon dan ia jelas tidak bersifat kalis air malah menggunakan bahan semula jadi sekali gus dapat merawat kulit.
“Bagaimanapun, solekan perlu di cuci sebelum berwuduk tanpa was was,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.
Nur Aini menjelaskan, konsep produk mesra wuduk sering kali mengelirukan ramai pihak terutama golongan wanita yang suka bersolek tetapi dalam masa wajib menunaikan solat lima waktu.
Salah faham terdapat konsep tersebut sebelum ini telah menyebabkan pelanggan merasa tidak perlu mencuci solekan sebelum mengambil wuduk dan boleh terus bersolat.
Selain itu, beliau menerangkan, dua produk kosmetiknya, Glowing DD Moist Cake dan Magic Lipstick merupakan antara kosmetik mesra wuduk yang paling laris dan mempunyai banyak kelebihan.
“Rangkaian dua produk tersebut lebih praktikal kerana solekan mudah ditanggalkan, mudah untuk dipakai semula serta tidak mengambil masa lama untuk bersolek,” ujarnya.
Buat masa ini, syarikat telah memiliki lebih daripada 50 produk meliputi segmen kosmetik, minuman dan makanan, makanan tambahan serta pakaian berjaya menembusi pasaran di negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Brunei.















