PETALING JAYA – Rata-rata tukang jahit di seluruh negara menerima tempahan baju raya yang menggalakkan selepas kerajaan membuat pendirian tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Hari Raya Aidilfitri seperti tahun lalu walaupun kes Covid-19 meningkat.
Disebabkan keyakinan orang ramai khususnya umat Islam itu, mereka mula melakukan persiapan awal selepas dua tahun berturut-turut ‘menikmati’ hari raya dalam suasana PKP.
Di Shah Alam, pemilik kedai jahit Eden, Muhammad Shah Bakhtiar berkata, dia terpaksa menutup permintaan menjahit baju susulan telah menerima tempahan kira-kira 2,000 baju Melayu untuk Aidilfitri kali ini.
“Alhamdulillah, amat lega dengan jumlah tempahan kali ini kerana saya tidak dapat sebarang tempahan pada Aidilfitri tahun lalu dan 2020.
“Saya ambil tempahan banyak kerana mempunyai enam tukang jahit,” katanya yang mewarisi perniagaan keluarganya lebih 30 tahun lalu.
Namun nasib berbeza dengan kedai Auntie Butik yang hanya dapat melakukan 20 tempahan membuat baju kurung untuk perayaan kali ini.
Menurut pekerja butik itu, Suhaida Abu Samad, ini berikutan hanya dia seorang yang menjahit baju kurung tempahan pelanggan.
“Saya terpaksa tolak sebab ketiadaan pekerja lagipun hendak buat baju kurung ini, perlu mengambil masa kerana memerlukan penelitian bagi memenuhi setiap kehendak pelanggan,” katanya.
Dalam pada itu, pemilik butik Mega Mahir Sdn. Bhd., Shahrizal Md. Sari berkata, mood pelanggan masih berada di tahap kurang memberansangkan susulan peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

Suhaida sedang menyiapkan tempahan baju raya pelanggan di Auntie Butik, Kompleks PKNS, Shah Alam ketika ditemui baru-baru ini.
“Ramai masih risau akan keadaan kes Covid-19 dan lebih berhati-hati sama ada ingin melakukan tempahan atau tidak.
“Kelangsungan perniagaan banyak bergantung kepada tempahan baju korporat khususnya daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selepas kegiatan luar dewan dibenarkan sejak empat bulan lalu,” jelasnya.
Di Rembau, seorang tukang jahit, Rozarina Abdul Manaf, 55, berkata, dia telah menerima tempahan baju raya sejak Disember lalu.
“Rasa gembira dan lega sebab selain tempahan baju raya, saya juga sudah menerima tempahan baju untuk dipakai kenduri kahwin serta pakaian sekolah.
“Cumanya saya tak boleh ambil terlalu banyak kerana hanya mengusahakan perniagaan serta sambilan seorang diri di rumah sejak 29 tahun lalu,” katanya ketika ditemui di Kampung Chengkau Ulu semalam.
Rozarina berkata, dia menjangkakan tempahan awal yang bakal diterimanya adalah hampir 50 pasang baju dan dia juga menerima tempahan langsir, sarung kusyen, meja dan lain-lain lagi mengikut kesesuaian.
Di Sungai Petani, seorang tukang jahit di Kampung Bukit Kecil, Tikam Batu, Nur Atikah Ramili, 27, berkata, tempahan baju raya tahun ini meningkat sekali ganda sehingga menyebabkan dia kini menutup tempahan.
“Orang ramai sudah mula menempah baju raya sejak November tahun lalu dan tempahan menjahit baju raya tahun ini juga sudah ditutup.
“Kebanyakan pelanggan saya terdiri daripada anak perantau yang pulang bercuti ke kampung pada November lalu dan berhasrat untuk pulang beraya ke kampung tahun ini.
“Saya terpaksa tutup tempahan menjahit baju raya sejak awal bulan ini kerana sudah menerima tempahan lebih 100 pasang baju raya setakat ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Atikah yang menjalankan perkhidmatan menjahit baju sejak empat tahun lalu berkata, dia bersyukur kerana perkhidmatan menjahitnya kini kembali mendapat sambutan pelanggan.















