LANGKAWI – Seorang penduduk terkilan kerana tidak sempat memberi makanan kepada dua beradik yang ditemui mati selepas memakan sisa yang dipungut dalam tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa di Bukit Malut kelmarin.
Penduduk yang dikenali sebagai Kasim, 42, berkata, masih terngiang-ngiang kelibat dua beradik itu di dalam benak fikirannya hingga membuatkan dia tidak lena tidur setiap kali terkenang keadaan mangsa yang mati dalam keadaan mulut berbuih akibat keracunan.
Katanya, dia pernah meminta daripada bapa mangsa untuk menjaga dua beradik warga Myanmar tersebut selepas melihat keadaan mereka dalam keadaan tidak terurus, namun ditolak mentah-mentah.
“Dua beradik itu kelihatan terabai jadi saya minta untuk menjaga mereka tetapi tidak dibenarkan.
“Saya sangat terkilan kerana pada hari kejadian saya tidak sempat memberi makanan kepada mereka dan malam tadi (kelmarin) saya tidak boleh tidur terkenangkan mereka,” katanya ketika ditemui di sini.
Semalam Kosmo! Online melaporkan, dua kanak-kanak dikenali sebagai Ngei Jamaludin, 2, dan abangnya, Nizambudin, 4, meninggal dunia selepas ditemui dalam keadaan terhuyung-hayang dan mulut berbuih oleh bapa mereka kira-kira pukul 5.40 petang.
Bapa mangsa berusia 36 tahun mengambil upah membaiki kelengkapan bot dan hanya menumpang di rumah jiran.
Menurut Kasim, dua beradik itu sering bermain di sepanjang jalan berhampiran tong sampah tersebut.
Cerita Kasim lagi, selalunya dia serta beberapa penduduk lain akan memberikan wang dan makanan kepada dua beradik tersebut.
“Pada hari kejadian, bapa kanak-kanak itu memaklumkan mereka baru makan mi segera.
“Kami semua terkejut kerana tong sampah tersebut kerap diselongkar oleh monyet tetapi tiada pula yang mati keracunan,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, bapa mangsa ditahan untuk membantu siasatan.
“Suspek juga positif morfin selepas menjalani ujian air kencing,” katanya.














