fbpx
WAK JOHARI terkejut ‘ditunggu’ ular besar dipercayai penunggu pokok besar yang ditebangnya selepas pulang ke rumah. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Ular penunggu nanti depan rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM masyarakat Melayu, pokok besar terutamanya di kawasan berbukit dan hutan mempunyai penunggu yang dikatakan sudah beratus tahun mendiaminya.

Ia turut dialami seorang penebang pokok yang mengalami peristiwa menyeramkan selepas bersetuju mengambil kontrak menebang sebatang pokok besar di sebuah universiti terkemuka beberapa tahun lalu.

Pelbagai peristiwa pelik dan mistik berlaku termasuk pokok tersebut tidak dapat ditumbangkan walaupun kesan takikan hanya beberapa sentimeter sahaja, seolah-olah ia dipegang oleh sesuatu.

Semasa balik ke rumah, rakannya yang ada ilmu kebatinan dikejutkan dengan kehadiran ular tedung berwarna hitam yang menunggunya di muka pintu.
——————————————————————————————————————————————————–
KISAH pokok besar berusia ratusan tahun yang sukar ditebang disebabkan faktor-faktor mistik sering kita dengar.

Pokok besar yang telah lama menaungi sesuatu kawasan ada yang terpaksa ditebang demi pembangunan, biarpun sebelum ini terdengar cerita menyeramkan mengenai pokok tersebut.

Peristiwa menyeramkan turut berlaku kepada seorang penebang pokok dari Teluk Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor, Jamal Safar, 62, yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam bidang itu.

Ceritanya, satu hati dia diminta menebang sebatang pokok dipercayai berusia ratusan tahun di sebuah universiti terkemuka di negara ini untuk memberi laluan kepada pembangunan di situ.

Katanya, pokok tersebut sebelum ini didakwa dipuja oleh beberapa orang bukan Islam dan proses menebangnya bukan sahaja terganggu, malahan diselubungi misteri.

“Selain dibantu beberapa pekerja, saya turut mengajak seorang rakan yang mempunyai ilmu kebatinan dikenali Wak Johari untuk membantu proses menebang pokok besar tersebut.

“Menurut rakan saya, pokok tua tersebut sudah menjadi tempat ‘menumpang’ banyak makhluk halus sejak sekian lama,” ujarnya.

Jelasnya, mereka menjalankan kerja-kerja penebangan pokok bermula pukul 10 pagi dengan menghadapi perlbagai cabaran, mungkin disebabkan ‘gangguan’ makhluk halus yang ada di situ.

Ujarnya, mata gergaji hampir rosak kerana terkena paku-paku yang tertanam di dalam batang pokok tersebut dan apabila mata gergaji bermasalah, dia perlu mengasahnya lebih 10 kali.

Jamal memberitahu, dia berasa pelik terdapat banyak paku yang panjangnya tujuh hingga 10 sentimeter tertanam dalam batang pokok.

RAMAI percaya, pokok besar terutama di dalam hutan ada penunggu. – GAMBAR HIASAN

Katanya, situasi itu menyebabkan hatinya gelisah memikirkan bila agaknya pokok besar itu akan rebah ‘menyembah’ bumi.

“Kerja yang boleh siap dalam tiga jam masih belum menampakkan jalan penyelesaian disebabkan ‘gangguan’ yang diterimanya itu.

“Setelah berbincang dengan Wak Johari, saya memintanya berbuat sesuatu agar urusan menebang pokok dapat dipermudahkan,” katanya.

Beberapa orang yang sudah lama melakukan upacara pemujaan di pokok tersebut mendesak Jamal agar menghentikan kerja penebangan pokok tersebut.

Kata Jamal lagi, dia bekerja secara berprinsip, bila sudah menerima tanggungjawab untuk menebang pokok, akan dilakukan tanpa sebarang alasan.

“Walau susah macam mana sekalipun, kerja tersebut harus dilunaskan walaupun perlu berhadapan dengan haiwan berbisa dan cuaca buruk,” katanya.

Setelah dibaca mantera khas dan ‘komunikasi’ berterusan Wak Johari dengan ‘penunggu’ pokok tersebut, kerja-kerja menebang diteruskan.

Namun, satu kejadian pelik berlaku, tiada tanda-tanda pokok itu tumbang biarpun kesan tebangan hanya tinggal beberapa sentimeter sahaja.

Ia masih berdiri gagah, seolah-olah ada sesuatu yang memegangnya dengan erat.

“Cubaan untuk menolak pokok yang hampir putus itu gagal hingga menimbulkan rasa pelik dalam kalangan pekerja dan pihak pentadbiran universiti tersebut,” ujarnya lagi.

Mengimbas peristiwa tersebut, Jamal berkata, Wak Johari sekali lagi berkomunikasi dengan penunggu tersebut supaya ‘melepaskan’ pokok tersebut agar kerja-kerja dapat disiapkan segera.

Akhirnya, pokok tersebut menyembah bumi juga hingga menyebabkan kawasan sekitar bergegar kuat.

“Setelah segalanya selesai menjelang petang. Kami semua balik ke rumah, namun ia tidak berakhir di situ.

“Bagi diri saya tiada apa yang terjadi, tiada penunggu atau makhluk halus yang mengikut ke rumah. Namun semasa Wak Johari balik ke rumah, dia dikejutkan dengan kehadiran ular tedung berwarna hitam yang menunggunya di muka pintu,” katanya.

Sebagai seorang pengamal ilmu yang sudah masak dengan ujian-ujian ilmu hitam, Wak Johari memberi kata dua kepada haiwan tersebut.

“Saya kata, kalau kau betul ular aku hapuskan kau, jika bukan pergilah pulang segera ke tempat asal.

“Ular hitam tersebut terus hilang daripada pandangan Wak Johari. Nasib baik itu saja ujian-ujiannya kalau tidak, taubat saya hendak menebang pokok besar dan berpenunggu lagi,” katanya.
————————————————————————————————————————————————-
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat
di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN