MONZA – Pelumba Ferrari, Sebastian Vettel enggan meletakkan harapan tinggi menjelang perlumbaan Formula 1 (F1) ke-1,000 Grand Prix Tuscan yang akan berlangsung di Mugello hujung minggu ini.
Ferrari berdepan situasi paling buruk dalam sejarah apabila dua pelumba mereka, Vettel dan Charles Leclerc gagal menamatkan saingan pada perlumbaan di GP Itali yang berlangsung di Litar Monza Ahad lalu.
Vettel gagal meneruskan perlumbaan selepas pusingan ketujuh akibat masalah brek manakala Leclerc terlibat dalam insiden kemalangan di selekoh Parabolica sekali gus mengecewakan pasukan itu ketika mereka beraksi di litar yang dianggap sebagai ‘rumah’ Ferrari.
Menurut Vettel, dia tidak meletakkan apa-apa harapan pada aksi di Mugello nanti sebaliknya sasaran utama hanyalah untuk menamatkan perlumbaan.
“Dalam sukan, berdepan detik sukar seperti ini adalah perkara biasa tetapi saya kecewa kerana ramai yang telah berusaha untuk menjadikan pasukan ini lebih baik tetapi kami gagal.
“Kami benar-benar berdepan situasi buruk ketika ini dan kegagalan di Monza sangat memalukan tetapi kami bernasib baik kerana ia berlangsung tanpa kehadiran penyokong kami di sini.
“Saya harap kami mampu memberikan aksi yang lebih baik di Mugello nanti tanpa memikirkan peluang untuk mendapat tempat di podium. Kami perlu lebih realistik dan tidak mungkin meletakkan jangkaan yang terlalu tinggi.
“Saya berharap ia akan menjadi satu minggu yang lancar tanpa sebarang masalah. Ia mungkin menjadi permulaan yang baik sekurang-kurangnya untuk saya sendiri,” katanya.
Vettel memulakan perlumbaan di petak ke-17 pada aksi di Monza dan berjaya memperbaiki kedudukan sebelum masalah brek menyebabkan impiannya untuk bersaing terus lebur. – AGENSI














