RAMAI ibu bapa terbeban dengan bayaran yuran tadika yang terlalu tinggi ketika ini. – GAMBAR HIASAN

‘Caj tadika macam yuran universiti’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Rata-rata ibu bapa khususnya daripada golongan M40 mula pening kepala apabila mereka perlu menyediakan perbelanjaan besar semata-mata untuk menghantar seorang anak ke pusat tadika swasta.

Situasi itu dianggap membebankan dalam situasi ekonomi ketika ini memandangkan kos yang dikenakan oleh pihak tadika disifatkan lebih mahal jika dibandingkan dengan yuran bagi menyambung pengajian di universiti awam.

Lebih malang apabila ibu bapa daripada golongan ini biasanya sukar dan tidak layak untuk mendaftarkan anak-anak mereka di tadika milik kerajaan yang lebih mengutamakan keluarga daripada kumpulan B40.

Difahamkan, kebanyakan pihak tadika swasta mengenakan caj tahunan mencecah RM6,000 bagi seorang kanak-kanak berusia antara empat ke enam tahun untuk belajar di pusat itu bagi tempoh kira-kira enam jam sehari.

Untuk rekod, yuran yang dikenakan bagi pengajian pe­ringkat ijazah sarjana muda di universiti awam ialah bermula serendah RM2,500 sehingga RM5,000 setahun bergantung kepada bidang pengkhususan.
Tinjauan Kosmo! di beberapa tadika swasta di sekitar Lembah Klang mendapati, ibu bapa perlu membayar sekurang-kurang­nya RM2,500 untuk pendaftaran, manakala yuran bulanan yang dikenakan adalah antara RM300 hingga ke RM500 sebulan.

Yuran pendaftaran tadika itu meliputi yuran-yuran tahunan (RM400), yuran bulanan (RM250), buku kerja dan bahan pembelajaran (RM100), program sains (RM150), yuran konvoke­syen (RM100) dan subjek komputer untuk anak berumur enam tahun (RM200).

Selain itu, ibu bapa juga dikenakan bayaran takaful (RM10), tanda nama (RM15), pakaian sukan (RM50-lelaki/RM70-perempuan), gambar kelas (RM55), buku bacaan (RM100) dan juga uniform (RM52 lelaki dan RM70 perempuan).

Menurut seorang peniaga, Nur Fatihah Ismail, 36, yuran yang dikenakan tadika swasta dilihat agak keterlaluan, sekali gus menyebabkan ibu bapa khususnya golongan M40 di kawasan bandar merasai kesannya.

Katanya, yuran ditawarkan bukan sahaja membebankan terutamanya bagi keluarga mempunyai anak ramai, malah kosnya juga melebihi bayaran untuk belajar di universiti awam.

“Bayangkan, yuran dikenakan bagi pendaftaran seorang pelajar tadika swasta di sekitar Pe­taling Jaya ialah sekitar RM1,800 ke RM2,000 dan jumlah itu tidak termasuk yuran bulanan.

“Biasanya, yuran bulanan yang dikenakan antara RM320 ke RM350 bagi tempoh pembelajaran sehingga tengah hari, jika pelajar berada di situ hingga petang, kosnya mampu mencecah RM500 sebulan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, dia dan suami yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan tidak mempunyai pilihan lain serta perlu memperuntukkan sebanyak RM700 sebulan bagi membayar yuran tadika untuk dua anak mereka.

“Walaupun berada dalam ka­tegori M40, ia bukan bermakna kami hidup mewah. Kos hidup di bandar sangat tinggi, apabila yuran tadika juga mahal, ia sangat membebankan golongan se­perti kami.

“Kami tiada pilihan, pendidikan anak-anak perlu diberi keutamaan walaupun kadang-kadang berasa sedikit terbeban dengan kos perlu ditanggung setiap bulan,” luahnya.

Sementara itu, seorang eksekutif swasta, Illi Hafizah Hisham, 31, turut berpandangan sama dan menyifatkan yuran dikenakan pihak tadika swasta membebankan dan perlu dikaji semula.

Katanya, meskipun yuran dikenakan itu merangkumi semua silibus pembelajaran, namun ada antaranya tidak dapat dilaksanakan susulan penyebaran wabak Covid-19.

“Jadi, saya harap pihak tadika swasta mengkaji semula caj dikenakan kerana tidak semua aktiviti dapat dijalankan kerana Covid-19. Sebelum ini, yuran tetap berjalan walaupun tiada aktiviti pelajar diadakan.

“Sebagai waris, saya juga berharap agar silibus tidak penting dapat digugurkan atau dikaji semula seterusnya mengurangkan kos bulanan yang perlu ditanggung setiap ibu bapa,” jelasnya.

Bagi Nurul Liyana Hanapi, 32, dia mengharapkan kerajaan menyediakan lebih banyak Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) terutamanya di kawasan bandar.

“Jika kita lihat, Tabika Kemas agak kurang di kawasan bandar walaupun populasi penduduk tinggi, atas sebab itu, ibu bapa terpaksa membayar lebih untuk menghantar anak-anak ke tadika swasta.

“Sebenarnya, golongan M40 khususnya begitu mengharapkan untuk menghantar anak-anak ke Tabika Kemas, namun disebabkan tempat terhad, hasrat itu terpaksa dibatalkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN