fbpx
China kekal berada pada kedudukan pertama dengan bilangan penduduk paling ramai di dunia, iaitu 1.4 bilion orang. - AFP

Populasi global meningkat 74 juta orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WASHINGTON – Populasi penduduk dunia meningkat sebanyak 74 juta orang, menjadikan jumlah penduduk global seramai 7.8 bilion pada tahun 2021, lapor portal berita MailOnline kelmarin.

Berdasarkan data yang dikeluarkan Biro Banci Amerika Syarikat (AS) itu, China kekal berada pada kedudukan pertama dengan bilangan penduduk paling ramai di dunia, iaitu sebanyak 1.4 bilion orang.

Ini diikuti oleh India sebanyak 1.38 bilion, AS seramai 332 juta, Indonesia dengan 275 juta dan Pakistan seramai 238 juta penduduk.

Daripada angka tersebut, kadar pertumbuhan global mencatatkan peningkatan 0.9 peratus, lebih rendah berbanding sasaran ditetapkan iaitu 0.96 peratus, yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Meskipun populasi global masih meningkat, kadar peningkatan tersebut semakin mengecil atau kurang konsisten sejak pertengahan tahun 1960-an, ketika ia berada pada paras tertinggi sekitar dua peratus.

Menurut satu data dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), populasi global akan terus meningkat sehingga tahun 2100, namun pertumbuhan akan tertumpu di sebilangan kecil negara.

Lebih separuh daripada pertumbuhan populasi dalam 30 tahun akan datang dijangka bertumpu hanya di lapan buah negara iaitu Republik Demokratik Congo, Mesir, Etiopia, India, Indonesia, Nigeria, Pakistan, Tanzania dan AS.

Selain itu, 55 negara lain dijangka mencatatkan kemerosotan populasi sebanyak satu peratus atau lebih dalam tempoh yang sama.

Keadaan itu diramal dialami oleh Bulgaria, Latvia, Lithuania dan Ukraine, di mana populasi penduduknya dijangka berkurang sebanyak 20 peratus.

“Trend ini akan dipacu oleh kemerosotan kadar kesuburan di samping trend penghijrahan penduduk,” kata PBB.

Keadaan itu sekali gus akan menyebabkan negara-negara tersebut perlu berdepan dengan trend peningkatan populasi penduduk warga emas.

Ia seterusnya akan menjadi satu masalah kerana beban untuk menjaga golongan tersebut akan ditanggung oleh kumpulan bekerja yang dalam masa masa semakin berkurang.

“Kemuncak bagi situasi ini adalah ketika populasi dunia bagi individu berusia melebihi 65 tahun mengatasi bilangan penduduk muda yang berusia 15 ke 24 tahun,” tambah PBB.

Dalam pada itu, satu kajian lain yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet baru-baru ini membuat jangkaan lebih agresif, di mana populasi global diramal berkurang pada kadar lebih pantas, iaitu seramai 9.7 bilion populasi dicatatkan pada 2064, sebelum terus merudum kepada 8.8 bilion pada 2100.

Ini bermakna, peradaban manusia pada masa hadapan berkemungkinan semakin ‘sepi’ kerana dunia ini akan dipenuhi dengan bangunan-bangunan terbengkalai serta bandar-bandar yang sunyi dan lengang ekoran kematian lebih ramai umat manusia. – AGENSI  

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN