MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ralf Rangnick menegaskan pasukannya memiliki potensi besar untuk menamatkan musim ini di kedudukan yang lebih baik berbanding sekadar memasang hasrat untuk berpuas hati di kelompok empat terbaik.
Kemenangan 3-1 ke atas Burnley, awal pagi semalam melonjakkan United di tempat keenam dan hanya dipisahkan empat mata berbanding Arsenal di tempat keempat ketika mereka masih kekurangan satu perlawanan.
Rangnick juga memberi bayangan bahawa sasaran yang lebih tinggi akan diletakkan kepada skuadnya pada baki saingan musim ini selepas kejayaan menutup tahun 2021 dengan kemenangan.
“Saya tidak mahu katakan bahawa paling minimum adalah empat teratas. Sekarang kami mengharungi lapan perlawanan tanpa kalah.
“Ia lebih kepada bagaimana perkembangan kami untuk perlawanan akan datang,” kata Rangnick.
Pada aksi tersebut, United membuka tirai jaringan menerusi Scott McTominay, jaringan sendiri pemain Burnley, Ben Mee dan Cristiano Ronaldo, manakala pasukan lawan memperoleh gol saguhati menerusi Aaron Lennon.
Selain itu, penyokong juga mengharapkan Rangnick mampu membawa pemain baharu untuk membantu kelab seperti impak yang pernah dibawa Bruno Fernandes sebelum ini.
Bagaimanapun, pengurus dari Jerman itu lebih bersikap berhati-hati dan mengakui yang beliau belum lagi membuat perbincangan mengenai perpindahan pemain.
“Fokus saya adalah pemain sedia ada. Seperti saya katakan, kami memiliki pemain yang cukup,” jelasnya. – AGENSI














