IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad telah membatalkan tugas rasminya ke Dubai ekoran ramalan angin Monsun Timur Laut yang akan melanda mulai 26 Disember ini.
Beliau sepatutnya mengetuai delegasi negeri bersama Tourism Perak ke Expo Dubai mulai 25 Disember ini
Bagaimana pun kata Saarani, pemergian delegasi itu tetap diteruskan kerana tempatnya digantikan dengan pegawai kanan lain.
“Saya sepatutnya mengetuai delegasi Perak ke Dubai tapi saya putuskan tak jadi pergi susulan amaran (angin Monsun Timur Laut) akan berlaku pada 26 Disember ini
“Namun tim lain akan pergi. Ini kerana saya rasa bimbang jika berlaku kejadian yang sama (banjir) jadi orang ramai kena waspada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa menghadiri Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung ke-42 PKMM di sebuah hotel di sini malam tadi.
Beliau turut mengingatkan penduduk supaya berwaspada kemungkinan berlaku banjir di beberapa kawasan antaranya Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Selama, Kerian dan Manjung.
Katanya, kawasan-kawasan ini antara yang dilanda banjir besar pada tahun 2014.
“Saya minta pejabat daerah dan semua pegawai daerah yang menjadi pengerusi jawatankuasa bencana daerah membuat persiapan secukupnya untuk menghadapi kemungkinan banjir,” ujarnya. – K! ONLINE














