fbpx
Mangsa menunjukkan kesan lebam pada tangan akibat dipukul senior sebuah sekolah asrama di Pahang.

Kerajaan negeri kecewa isu buli masih berlaku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Kerajaan negeri berdukacita dan kecewa dengan kejadian buli melibatkan pelajar sekolah di negeri ini yang masih terus berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kegagalan pihak berkaitan mengatasi masalah itu amat mengecewakan apabila kes buli terus berulang.

“Kerajaan sedih apa yang berlaku di sekolah itu (sebuah sekolah di Muadzam Shah, Rompin) apabila pelajar dipukul oleh pelajar senior dan ia tidak sewajarnya berlaku.

“Kerajaan negeri sedia membantu pihak berkaitan seandainya mereka masih gagal mengatasi masalah seperti ini,” katanya di sini hari ini.

Hari ini Kosmo! melaporkan tidak sampai 24 jam kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Perak tersebar, satu lagi kes dilaporkan berlaku di sebuah sekolah berasrama di Pahang yang mengakibatkan empat pelajar cedera dan trauma selepas dijadikan ‘karung tinju’ oleh sekumpulan senior.

Menurut Syed Ibrahim kerajaan negeri berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan sewajarnya dalam memastikan kes buli yang terus berlarutan dapat dikekang.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berharap orang ramai tidak membuat andaian sendiri kerana pihak polis sedang melakukan siasatan.

“Saya juga meminta ibu bapa menasihati anak-anak mereka dan tindakan proaktif pemeriksaan ke asrama-asrama akan dilakukan,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN