KISAH kehidupan di dunia ini, kadang-kadang kita akan menjadi mangsa ‘belitan’ dan pujuk rayu menggoda gadis muda hingga sanggup melakukan apa sahaja bagi memenuhi kehendak ‘puteri’ idaman tersebut.
Itu yang terjadi kepada Elias (bukan nama sebenar) dalam kisah Pengakuan minggu ini yang menjadi mangsa pisau cukur seorang gadis muda dari Thailand hinggakan tanah sawah miliknya tergadai.
Dia yang memperisterikan gadis muda tersebut terpaksa berhutang dengan rakan untuk memenuhi selera dan kehendak wanita muda tersebut.
Akibat jumlah hutang yang semakin banyak dan dia gagal melunaskannya, akhirnya dia terpaksa menggadaikan tanah sawah pusaka miliknya.
——————————————————————————————————————————————————–
TINGGAL di sebuah negeri yang bersempadan dengan Thailand membolehkan Elias (bukan nama sebenar) sentiasa mengunjungi negara tersebut.
Dia yang kini berusia penghujung 50-an menjelaskan, tujuannya ke negara tersebut adalah semata-mata untuk berhibur.
“Saya menjadi ketagih untuk mengunjungi pusat hiburan di negara itu setelah terpengaruh dengan ajakan rakan-rakan untuk.
“Lagipun jarak rumah saya dengan pintu sempadan tidak terlalu jauh cuma mengambil masa sekitar 45 minit perjalanan,” ulasnya.
Dia yang bekerja sebagai pesawah menjelaskan, kerana selalu mengunjungi negara tersebut, dia telah jatuh cinta dengan seorang gadis Siam.
Setiap kali ke sana, dia yang sudah berkeluarga pasti tidak lupa berjumpa dengan gadis idamannya itu.
Setelah hampir setahun menjalinkan hubungan, Elias mengambil keputusan untuk berkahwin dengan gadis berusia lingkungan 20-an itu.
“Saya mengakui telah jatuh cinta dengannya. Lebih menggembirakan saya, dia bersetuju untuk berkahwin dengan saya.
“Kami akhirnya sah bergeklar suami isteri. Saya bernikah tanpa pengetahuan isteri pertama,” jelasnya.
Ujar Elias lagi, setelah berkahwin, setiap minggu dia akan ke Thailand dan bermalam di kediaman isteri baharunya itu.

Isterinya yang berasal dari Chiang Mai yang terletak di bahagian utara Negara Gajah Putih itu hanya menyewa bilik di situ.
Setelah berkahwin, Elias yang menanggung segala perbelanjaan isteri mudanya itu termasuk bayaran sewa bilik dan juga duit belanja sebanyak RM1,500 setiap bulan.
Hari berganti hari dan selepas itu, isterinya menyatakan bahawa duit yang diberikan tidak mencukupi dan mahu lebih lagi.
“Saya terpaksa akur kerana jika tidak mengikuti kemahuannya, dia akan merajuk dan tidak mahu berjumpa dengan saya lagi,” ujarnya.
Kerana terlalu sayangkan isteri mudanya itu, Elias sanggup menggadaikan barang kemas isteri pertamanya secara diam-diam.
Elias menyatakan, dia hanya bekerja sebagai pesawah dan tidak memiliki wang yang banyak.
Sejak berkahwin dengan gadis Thai itu, dia sering berhadapan dengan masalah kewangan.
Rahsianya berkahwin dengan gadis muda dari Siam itu akhirnya diketahui isteri pertamanya.
Ekoran itu, dia sering bergaduh dengan isteri pertamanya.
Kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk diberikan kepada isteri Siamnya itu, Elias akhirnya mengambil keputusan nekad untuk meminjam sedikit wang daripada rakan baiknya.
“Kerana terdesak, saya selalu meminjam wang daripada rakan.
“Pada mulanya dia tidak kisah untuk memberinya, tetapi kerana selalu sangat meminjam dia meminta geran tanah sawah saya untuk dijadikan sebagai cagaran.
“Saya mengakui jumlah wang yang dipinjamkan agak banyak dan saya sendiri tidak mampu untuk membayarnya,” tegasnya.
Dalam pada itu, Elias menjelaskan, pada suatu hari isteri mudanya meminta sejumlah wang yang agak banyak daripadanya.
Jelasnya, isterinya memberi alasan bahawa keluarganya di kampung berhadapan dengan masalah dan memerlukan sedikit bantuan kewangan.
“Pada mulanya saya agak keberatan untuk memberikannya, tetapi setelah melihat tangisannya hibanya, saya menjadi tidak sampai hati.
“Akhirnya saya meminjam sejumlah wang daripada rakan untuk diberikan kepadanya,” jelasnya.
Setelah mendapat wang tersebut, isteri Elias memberitahu, dia ingin pulang ke kampung buat seketika untuk bertemu keluarga.
Elias dengan rela hati membenarkan isterinya itu pula.

Setelah beberapa lama isterinya pulang ke kampung, Elias cuba menghubunginya, tetapi panggilan telefon dan mesej yang dihantar tidak dijawab.
“Saya kemudian bertemu dengan salah rakan-rakannya.
“Akhirnya mereka memberitahu, dia pulang ke kampung dan tidak mahu datang ke situ lagi.
“Saya terkedu seketika dengan jawapan rakan-rakannyan itu.
“Kami telah terputus hubungan sebaik dia pulang ke kampung dan tidak menyangka isterinya itu seorang ‘pisau cukur’,” katanya.
Elias menyatakan, dia tidak mempunyai kemampuan untuk membayar kembali wang yang dia pinjam daripada rakannya itu.
Akhirnya, tanah sawah miliknya tergadai ke tangan otang lain disebabkan sikapnya yang gila perempuan tanpa memikirkan akibatnya di kemudian hari.















