PETALING JAYA – Trend wanita kahwin lambat bukanlah sesuatu yang luar biasa ketika ini memandangkan ramai wanita lebih mengutamakan kerjaya berbanding teman lelaki dan mempunyai anak.
Bagaimanapun, tindakan mereka yang suka hidup bujang itu menyebabkan populasi penduduk negara ini mula terbantut.
Lebih parah jika trend kahwin lambat semakin meningkat saban tahun.
Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Penduduk Malaysia, Prof. Dr. Fatimah Daud mendedahkan, berdasarkan unjuran semasa, kadar pertumbuhan rakyat Malaysia adalah sekitar 2.2 peratus sahaja ketika ini berbanding kira-kira 3 peratus dalam tempoh beberapa tahun lalu.
Menurutnya, penurunan kadar pertumbuhan itu akan mendatangkan pelbagai masalah kepada negara.
“Antaranya ialah populasi penduduk akan lambat bertambah dan sumber tenaga buruh bakal terjejas pada masa depan. Kita juga terpaksa terus bergantung dengan pekerja asing, sekali gus merencatkan pembangunan negara.
“Isu ini sebenarnya bukan masalah baharu, tetapi 20 tahun lalu pun kita sudah alami situasi ini, namun ia tidak separah sekarang,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Fatimah memberitahu, berdasarkan kajian yang dijalankannya, beliau telah merumuskan beberapa faktor yang menjadi punca trend kahwin lambat masih berpanjangan.
“Salah satunya kerana wanita di negara ini lebih berkerjaya berbanding lelaki. Selain itu sikap wanita yang terlebih memilih juga mendorong mereka untuk bertemu jodoh lambat.
“Jika wanita itu tidak berkahwin sebelum usianya 30 tahun, kebanyakan mereka akan susah untuk mendapat jodoh selepas itu dan mungkin akan kahwin lambat.
“Lelaki pula suka mencari pasangan yang lebih muda untuk dijadikan teman hidup mereka kecuali isteri kedua atau seterusnya,” ujarnya.
Beliau berkata, ketika ini wanita sudah boleh berdikari tanpa lelaki dan ia juga menjadi faktor mengapa mereka lebih selasa hidup sendiri.
Ujarnya, jika zaman dahulu, wanita berkahwin kerana inginkan tempat bergantung, namun kini mereka yang mempunyai jawatan tinggi dan gaji besar tidak perlu mengharapkan lagi lelaki.
“Sebab itu, mereka tidak memikirkan sangat soal jodoh,” katanya.
Menurutnya, budaya dan sikap ibu bapa zaman moden yang memandang remeh soal perkahwinan anak mereka turut mempengaruhi trend kahwin lambat ketika ini.
“Sebagai contoh, orang zaman dahulu, jika anak mereka menjejak usia 20-an dan tidak kahwin lagi, mereka mula bimbang serta berusaha untuk mencari pasangan kepada anak mereka.
“Berbeza dengan ibu bapa sekarang, ramai yang tidak kisah, malah mereka menyerahkan 100 peratus kepada anak untuk menentukan jodoh mereka sendiri,” ujarnya.
Berita berkaitan: 15 tahun luka putus cinta ditipu lelaki kasanova
Berita berkaitan: Sejuta cari jodoh dalam talian
Tambahnya, kebanyakan ibu bapa sekarang juga terlalu bergantung harap kepada anak mereka sama terutama dari segi kewangan selain takut berjauhan apabila anak mereka sudah berkahwin.
“Bagi ibu bapa, mereka lebih suka anak sentiasa berada di depan mata dan pada masa sama, mereka boleh menumpang rezeki yang diperoleh anak-anak,” ujarnya.
Pada Ogos lalu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin dilaporkan berkata, kadar kelahiran di Malaysia didapati menurun bagi suku tahun kedua 2021.
Perangkaan Demografi bagi suku tahun kedua tahun ini menunjukkan jumlah kelahiran hidup di Malaysia mencatatkan penurunan sebanyak 4.4 peratus.
Sepanjang tempoh itu, sebanyak 111,573 kelahiran dilaporkan berbanding 116,688 dalam tempoh sama tahun lalu, iaitu 55,881 kelahiran bayi perempuan dan 55,692 bayi lelaki.
Ketika ini, jumlah penduduk Malaysia dianggarkan seramai 32.75 juta pada suku pertama 2021.
Pada Rabu lalu, Kosmo! melaporkan, tindakan lelaki yang gemar memperdaya anak dara dengan mengaku masih bujang walhal telah berkahwin atau menjadi tunangan orang menyebabkan ramai gadis kecewa hingga mengambil keputusan enggan bernikah.
Rata-rata mendakwa, mereka memerlukan masa untuk mengubat hati yang dilukai dan pada masa sama menjadi sukar mempercayai lelaki ekoran masih trauma sehingga enggan berkahwin.















