PETALING JAYA – Tindakan lelaki berhidung belang yang gemar memperdaya anak dara dengan mengaku masih bujang walhal telah berkahwin atau menjadi tunangan orang menyebabkan ramai gadis kecewa hingga mengambil keputusan enggan bernikah.
Rata-rata mendakwa, mereka memerlukan masa untuk mengubat hati yang dilukai dan pada masa sama menjadi sukar mempercayai lelaki ekoran masih trauma dengan kisah cinta yang dicurangi.
Selain itu, antara sebab mereka lambat mendirikan rumah tangga ialah mahu menumpukan perhatian kepada kerjaya, membantu keluarga ekoran berasal dari kehidupan susah dan miskin serta menjaga orang tua menyebabkan perkahwinan bukan menjadi keutamaan ketika ini.
Seorang wanita yang dikenali sebagai Aziah, 40-an berkata, kisah duka percintaannya bermula apabila dia berkenalan dengan seorang lelaki kira-kira 15 tahun lalu dan menjalinkan hubungan selama dua tahun.
“Kami berkenalan di media sosial dan pada awal perkenalan kami semuanya berjalan seperti biasa dan normal seperti pasangan kekasih lain. Kami berjumpa beberapa kali sepanjang bercinta.
“Bekas kekasih saya juga ada menyatakan niat dan bersungguh-sungguh menabur janji untuk menamatkan zaman bujangnya bersama saya hingga membuatkan diri ini percaya, namun segalanya berakhir tidak seperti yang dirancang,” katanya kepada Kosmo!.
Berita berkaitan: Sejuta cari jodoh dalam talian
Berita berkaitan: Wanita usia 25 tahun paling subur, sesuai kahwin cepat
Tambahnya, dia sangat kecewa apabila mendapat tahu bekas kekasihnya itu sebenarnya telah bertunang dengan wanita lain yang berasal dari utara tanah air dan alasan lelaki itu menjalinkan hubungan dengannya ialah sekadar mahu mengisi masa lapang.
Menurut kerani itu, kejadian itu menyebabkan hatinya sangat terluka dan sukar untuk menerima lelaki lain selama 15 tahun lamanya.
“Saya bukan memilih untuk berkahwin lambat, namun memerlukan masa untuk menerima cinta lelaki lain dan pada masa sama mahu mengubati hati yang dilukai. Ia terlalu sakit,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi wanita yang dikenali sebagai Aina, 38, memberitahu, dia lebih memilih untuk fokus terhadap kerjaya sebelum berfikir mengenai perkahwinan.
“Saya berasal daripada keluarga kurang senang dan apabila bekerja dalam bidang perbankan, saya lebih fokus untuk meningkatkan kerjaya sebelum berfikir untuk berkahwin.
“Gaji yang saya dapat, saya gunakan untuk beli barangan dan menjadikan ibu bapa saya hidup dengan lebih selesa. Bukan saya tak mahu kahwin tetapi mungkin jodoh saya tidak sampai lagi,” jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi wanita, Alia Abdul, 51, berkata, dia masih bujang kerana mahu menjaga ibu yang sedang terlantar sakit menyebabkan soal perkahwinan bukan lagi menjadi keutamaannya.
“Saya menjaga ibu yang sakit sejak 10 tahun lalu selepas ibu saya terbabit dalam kemalangan. Saya juga sudah terbiasa hidup dalam keadaan begini dan soal perkahwinan bukan lagi menjadi perkara utama.
“Saya mahu menabur bakti kepada ibu saya selagi dia masih hidup dan biarlah soal jodoh ini Tuhan yang menentukan. Cepat atau lambat itu bukan saya boleh tentukan,” jelasnya.-K! ONLINE















