LONDON – Sebuah syarikat percetakan di Britain yang dinamakan Omicron bertegas tidak akan menukar namanya meskipun di tengah-tengah kemunculan varian baharu dengan nama serupa, lapor akhbar Daily Star semalam.
Omicron Reprographics yang ditubuhkan kira-kira 25 tahun yang lalu dan dinamakan menggunakan huruf Yunani lama itu sebelum ini dikenali penduduk setempat kerana menghasilkan sepanduk, papan tanda dan bahan edaran untuk hospital Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).
Pengarahnya, Dave Loveridge dan pemiliknya, Mark Fawcett-Jones berharap untuk menggunakan nama virus ‘malang’ itu sebagai inspirasi untuk menyebarkan kegembiraan sepanjang tahun ini.
Loveridge berkata, pihaknya pernah ditanya beberapa kali untuk menukar nama syarikat itu, tetapi enggan melakukannya.
“Kami mempunyai perniagaan itu sejak 2008 dan telah wujud selama 25 tahun. Kami berharap kami tidak perlu menukar nama itu,” ujarnya.
Sebelum ini, syarikat percetakan Corona Beer juga mengalami pertembungan nama yang sama, namun tiada sebarang kerugian perniagaan dicatatkan. – Agensi
















