fbpx
Tuan Ibrahim (kanan) meninjau Projek Penstabilan Tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas hari ini. FOTO ZULHANIFA SIDEK

Tiada banjir besar di Kelantan tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR MAS – Kelantan dijangka tidak mengalami banjir besar tahun ini berikutan purata taburan hujan yang turun di seluruh negeri sudah mencecah sehingga 68 peratus setakat ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, data hujan tahunan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan baki peratusan taburan hujan adalah kira-kira 32 peratus.

“Purata hujan tahunan di Kelantan dianggarkan sebanyak 2,700 millimeter (mm). Setakat ini, hujan sudah turun sebanyak 1,835 mm dengan baki kira-kira 875 mm. Hanya tinggal beberapa episod hujan sahaja lagi.

“Insya-Allah banjir di Kelantan tahun ini tidak besar seperti sebelum ini atau pada 2014. Jika hujan lebat dalam tempoh lima jam, kemungkinan kejadian banjir kilat sahaja yang berlaku,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Projek Penstabilan Tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi di sini hari ini.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, JPS sentiasa membuat pemantauan terutamanya di kawasan berisiko banjir dan tanah runtuh di seluruh negara.

“Beberapa kawasan berisiko terutamanya pantai dan sungai sudah dikenal pasti. Antaranya Bachok dan Pasir Mas di Kelantan, Yan (Kedah) serta Ampang (Selangor). Bagi kawasan berisiko ini, kita sudah membuat persediaan awal dengan membaik pulih kerosakan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI