Anggota penyelamat melakukan misi pencarian Yana di Sumedang. -BPBD Sumedang

Lelaki tertekan dengan kerja reka plot diri hilang secara misteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JAKARTA – Gara-gara tertekan dengan masalah pekerjaan, seorang lelaki dari wilayah Jawa Barat berpura-pura ‘hilang’ secara misteri sehingga berita kehilangannya menjadi gempar di seluruh Indonesia, lapor stesen penyiaran CNN Indonesia.

Yana Supriatna, 40, yang sebelum ini dilaporkan hilang di Sumedang ditemui polis di Cirebon, kira-kira 80 kilometer dari kawasan tersebut.

Dia dilaporkan hilang sejak malam Selasa lalu sebelum sempat mengirimkan pesanan suara kepada isterinya melalui aplikasi WhatsApp, seolah-olah meminta pertolongan.

Menerusi pesanan suara yang dihantar, Yana kedengaran menangis dan menyebut tentang kewujudan ‘orang jahat’. 

Sejak itu, dia menghilangkan diri secara misteri dan hanya topi keledar serta motosikalnya ditemui terbiar di tepi sebatang jalan dalam keadaan stereng berkunci dan tiada kerosakan.

Laporan kehilangan Yana disahkan oleh Penyelia Pusat Kawalan Operasi dari Badan Tindak Balas Bencana Daerah (BPBD) Sumedang, Rully Surya.

Menurut Rully, Yana ditemui dalam keadaan sihat dan dihantar oleh anggota polis dari Cirebon ke Sumedang.

Dengan penemuan tersebut, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Bandung secara rasmi menghentikan misi pencariannya.

Setelah disoal siasat, Yana didapati sengaja menghilangkan diri disebabkan mempunyai masalah pekerjaan.

Bagaimanapun, laporan menyebut mendapati bahawa dia ditemui dalam keadaan sihat di rumah isteri mudanya selain mengaku meninggalkan motosikal dan menaiki kereta ke Cirebon, lapor laman berita Suara.com.

Namun ketika ini, pihak polis masih menjalankan siasatan kerana mendapati keterangannya berubah-ubah. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN