SELEPAS lebih setahun kisah percintaannya terhenti di tengah jalan mendapat liputan, aktres jelita Honey Lee dilaporkan sudah menemui cinta baharu.
Seperti dilaporkan Sports Seoul, pelakon itu sedang hangat menjalin hubungan cinta seorang lelaki yang bukan orang dalam industri.
Pasangan itu dikatakan bertemu buat kali pertama pada awal tahun ini selepas diperkenalkan oleh seorang kawan.
“Honey Lee bertemu kekasihnya yang bukan dalam kalangan selebriti awal tahun ini. Mereka mudah mencipta keserasian kerana memiliki minat dan pemikiran yang sama,” kata sumber.
Memberi maklum balas terhadap laporan berita tersebut, agensi Honey Lee iaitu Saram Entertainment dalam satu kenyataan mengakui aktres itu kini sedang dilamun cinta.
“Memang benar hatinya sudah dimiliki. Bagaimanapun, disebabkan kekasihnya merupakan orang biasa, kami sangat berharap agar peminat tidak mencetuskan sebarang bentuk gangguan.
“Jangan menyebarkan maklumat peribadi atau memberi perhatian yang melampau terhadapnya. Tolong beri sokongan supaya mereka dapat meneruskan hubungan ini dengan baik,” ujar agensi tersebut.