fbpx
KISAH mitos yang paling tersohor tentang bertap adalah dikatakan berasal dari gumpalan rambut Puteri Saadong. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Walau misteri, Sanggul bunian tetap dicari orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAMAI dalam kalangan masyarakat begitu taksub dan mempercayai benda yang dikaitkan dengan misteri hingga ada yang sanggup berhabis ratusan malahan ribuan ringgit untuk mendapatkannya.

Begitu juga dengan satu benda yang kelihatan seperti rambut manusia iaitu bertap atau turut dipanggil Sanggul Bunian kerana dikaitkan dengan dunia sebelah sana.

Ia banyak dicari orang pada harga tinggi kerana dikatakan mampu dijadikan sebagai pelaris, pengasih dan sebagainya.

Sejauh mana kebenaran semua dakwaan itu tidak pula dapat dipastikan. Hanya Allah yang mengetahuinya.
———————————————————————————————————————

SEKALI imbas, bebola bersaiz antara 15 hingga 30 sentimeter pelbagai warna itu tidak ubah seperti gumpalan rambut manusia.

Apabila dibelek dengan lebih dekat ternyata, ia berbeza sama sekali dengan rambut. Hasil penelitian melalui mikroskop juga menunjukkan keputusan serupa.

Bebola dikenali sebagai bertap itu mempunyai bahan yang sama dengan rambut iaitu fiber. Bagaimanapun, rambut manusia bersisik sedang bertap tiada dan hanya terkandung minyak.

Bertap dikatakan hanya boleh dijumpai di Kelantan dan mempunyai kaitan langsung dengan alam sebelah sana iaitu dunia bunian. Sebab itulah, ia turut dikenali sebagai sanggul bunian.

Terdapat beberapa kisah mitos yang dikaitkan dengan bertap dan masih misteri hingga ke hari ini. Antara yang tersohor dikaitkan dengan legenda Puteri Saadong.

Seorang penjual barang antik, A. Azahari Kasim memaklumkan, kononnya asal usul bertap dari rambut Puteri Saadong yang dicuri oleh burung tempua sebelum ditemui oleh orang biasa.

“Selepas siap mandi, puteri itu dikatakan menyisir rambutnya. Rambut yang tersekat pada sikat digumpal kecil sebelum dicuri burung tempua bagi pembuatan sarangnya.

“Kemudian, sarang burung tadi telah dijumpai oleh seorang individu yang mendapati gumpalan rambut itu kian membesar hingga kini,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Selain itu, ada juga pendapat yang mengatakan, bertap boleh ditemui pada dahan-dahan pokok atau di atas batu besar yang terdapat jeram di kawasan berbukit.

Dikatakan, tidak semua orang boleh menjumpai bertap dan hanya orang mereka yang berilmu dan mampu berkomunikasi dengan alam bunian sahaja menemuinya.

“Bertap ini juga dikatakan adalah sejenis pokok parasit yang menjalar di dalam hutan. Bertap ini tidak akan merosakkan pokok yang ditumpanginya.

“Bertap tidak sama dengan pokok parasit menjalar lain kerana perbezaan struktur. Pokok parasit lebih keras dan mudah patah manakala bertap bersifat lembut,” jelasnya.

Menguatkan lagi tanggapan tersebut, bertap mampu membesar seperti rambut manusia yang memanjang. Tetapi, bertap juga boleh mengeluarkan ‘anak’ jika kena dengan cara penjagaannya.

Justeru tidak hairanlah, bertap menjadi sering diburu oleh para pengumpul barang antik serta pengamal perubatan tradisional Melayu.


A. AZAHARI menunjukkan sanggul bunian yang ada dalam simpanannya siap untuk dijual kepada pihak yang berhajat berbuat demikian.

Malah, terdapat individu yang mengunakan bertap untuk tujuan tertentu kerana dipercayai mampu menjadi pelaris, pengasih, keselamatan dan perlindungan diri.

Bertap mempunyai variasi warna asli dan bukan yang dicelup seperti hitam, kuning, cindai, keemasan, putih, merah dan banyak lagi.

Cerita A. Azahari, cara penjagaan bertap cukup mudah iaitu dengan meletakkannya dalam sebuah bekas atau bungkus dengan kain.

Terangnya, bertap perlu disapu minyak dengan kerap untuk membolehkannya membesar seperti juga rambut manusia bagi memastikannya ia sentiasa subur.

“Minyak yang terbaik untuk disapu adalah minyak bayi, kelapa dara, kelapa sawit. Bertap yang subur akan mengeluarkan ‘anak’ dalam anggaran dua hingga 10 biji.

“Semakin banyak ‘anak’ dihasilkan, semakin tinggi harganya. Setiap induk dijual dengan harga RM500 dan nilainya akan meningkat bergantung kepada jumlah anak dihasilkan. Saya pernah jual sampai RM5,000,” katanya.

Sebelum mengakhiri bicara, A. Azahari menasihati orang ramai supaya tidak terlalu taksub dengan pelbagai propaganda yang bertebaran dalam media sosial mengenai bertap.

Jelasnya, bertap hanya asbab kepada perkara-perkara tersebut, sebaliknya semua yang berlaku itu disebabkan oleh ketentuan Allah.

“Ada orang cakap bertap ini sesuai dijadikan pelaris dan pengasih.

“Ada juga menggunakannya untuk halau hantu dalam perubatan tradisional. Tetapi sejauh mana kebenarannya saya sendiri tidak tahu.

“Nasihat saya gunalah bertap ini untuk kebaikan. Kita sebagai hamba Allah hendaklah menganggap penggunaan bertap ini sebagai jalan ikhtiar,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN