fbpx

Koperal dan lans koperal mengaku tidak bersalah terima rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah seorang tertuduh (topi, baju kelabu) yang hadir ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini atas pertuduhan menerima rasuah. -Foto: Ivan Amirul.

KOTA KINABALU – Dua anggota polis mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah selepas dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini.

Tertuduh, Lans Koperal Haikal Ibrahim Abdullah, 32, dan Koperal Sabestino Bong, 42, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut kertas pertuduhan, Haikal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Belud berhadapan sembilan pertuduhan membabitkan nilai suapan sebanyak RM1,570 bagi tempoh di antara 23 Mei 2017 hingga 6 Julai 2018.

Tertuduh kedua, Sabestino yang juga bertugas di IPD Kota Belud bagi Bahagian Narkotik menerima suapan sebanyak RM200 daripada seorang lelaki, 6 Jun 2017 yang didakwa sebagai dorongan kepadanya supaya tidak mengambil tindakan ke atas lelaki itu mengikut Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

Sabestino kemudiannya juga menerima wang suapan tambahan sebanyak RM100 di sebuah bank di daerah sama.

Kedua-dua tertuduh dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Sekysen 24(1) akta yang sama.

Mahkamah membenarkan ikat jamin ke atas Sabestino sebanyak RM6,000 bersama deposit RM3,000, seorang penjamin tempatan selain tertuduh diarah melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Lahad Datu selain pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak boleh menganggu saksi pendakwaan.

Bagi Haikal Ibrahim, tertuduh dibenarkan ikat jamin dengan wang jaminan sebanyak RM8,000 bersama deposit RM4,000 dan seorang penjamin tempatan serta turut diarahkan melapor diri kepada SPRM Sandakan dan pasport diserahkan kepada mahkamah serta tidak boleh menganggu saksi pendakwaan.

Kedua-dua tertuduh sebelum ini memohon rayuan kepada mahkamah agar mengurangkan wang jaminan berikutan perlu menanggung keluarga.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sabah, Nurul Izzati Sapifee, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI