fbpx
Menjual minyak pelincir tiruan merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. – GAMBAR HIASAN

‘Keluar asap putih lepas guna minyak hitam klon’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Minyak pelincir klon gred semisintetik merupakan produk yang pa­ling banyak terjual di pasaran dan mendapat sambutan dalam kalangan pemilik kenderaan.

Pakar permotoran, Gan Yong Li berkata, ini kerana biasanya minyak hitam klon itu dijual pada harga RM50 dan faktor tersebut menjadi penyumbang kepada penjualan produk tiruan secara meluas di pasaran.

“Pengguna juga mudah tertipu kerana rekaan botol minyak hitam yang mirip produk sebenar, malah nombor siri pada label produk tiruan juga seakan-akan sama dengan mi­nyak pelincir tulen.

“Faktor-faktor itu sudah cukup untuk membuatkan orang ramai tertipu sama ada produk itu dibeli di bengkel mahupun secara dalam talian (online),” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Menurut Yong Li, minyak hitam tulen boleh digunakan bagi perjalanan sehingga 10,000 kilometer (km), namun produk tiruan pula hanya boleh digunakan sejauh 2,000km .

Jelas beliau, pemilik ken­deraan sepatutnya dapat membezakan sendiri minyak hitam tulen dan palsu kerana masih terdapat perbezaan antara ke­dua-duanya.

“Minyak hitam tiruan adalah minyak hitam yang digunakan semula tanpa meletakkan bahan-bahan tambahan.

“Perbezaan yang ketara pada produk tulen dan palsu ialah daripada segi kelikatan dan warnanya. Jika tiruan, warna­nya lebih gelap dan tidak likat. Selain itu, bau produk tersebut juga berbeza,” katanya.

Tambah Yong Li lagi, isu tersebut telah berlanjutan sejak 10 tahun lalu dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan ber­akhir dalam masa terdekat.

Perkara sama diakui seorang juruteknik teknologi maklumat, Mohd. Sulaiman Mohd. Akbar, 27, yang memberitahu dia membeli produk tiruan tersebut selepas tertarik dengan tawaran harga murah di laman e-dagang.

“Saya langsung tidak mengesyaki (tiruan) kerana ia kelihatan seperti tulen pada labelnya. Apabila produk di­terima, saya membawanya ke bengkel kereta sebelum dimaklumkan ia adalah tiruan,” katanya.

Mohd. Sulaiman berkata, pekerja bengkel memberitahu, minyak hitam klon itu berbau pelik, malah warnanya juga gelap seperti pernah digunakan.

“Cubaan saya untuk meng­hubungi semula peniaga di laman e-dagang tersebut juga gagal,” katanya.

Sementara itu, pekerja swasta yang mahu dikenali sebagai Norman mendakwa, motosikalnya mula mengeluarkan asap putih setelah beberapa hari menggunakan minyak hitam tiruan.

“Selain itu, enjin juga cepat panas. Saya berasa hairan dan setelah diperiksa, mekanik memaklumkan minyak hitam hampir kering. Sudah tentu ia tidak akan berlaku sekiranya produk tersebut tulen,” katanya.

Ujar Norman, dia bernasib baik kerana motosikalnya tidak mengalami sebarang kerosakan kerana menyedari perkara itu lebih awal.

“Saya beli minyak hitam klon pada harga RM10 berban­ding RM14 (tulen). Tak sangka ia tiruan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN