PUTRAJAYA – Kebenaran rentas negeri untuk aktiviti pelancongan buat masa sekarang hanya dibenarkan melalui Gelembung Pelancongan Langkawi sahaja dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi kenyataan akhbarnya hari ini menjelaskan perkara berkaitan pengumuman kerajaan berhubung kebenaran melancong dalam negara.
“Bagi pelancongan domestik adalah dibenarkan untuk melakukan aktiviti pelancongan ‘intra-state’ (dalam negeri yang sama) bagi negeri-negeri berada dalam fasa dua dan ke atas berdasarkan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Kebenaran untuk melakukan aktiviti pelancongan adalah tertakluk kepada SOP yang telah diwartakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” kata kenyataan tersebut di sini hari ini.
Menurut MOTAC, Sidang Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang juga merupakan jawatan kuasa tertinggi untuk memutuskan pembukaan sektor ekonomi dan sektor bukan ekonomi, telah dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 September lalu.
“Beliau menyatakan kerajaan akan membenarkan pembukaan pusat-pusat pelancongan, pulau-pulau atau kawasan pelancongan beserta aktiviti rentas negeri dengan syarat negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan.
“Kerajaan akan membuat pengumuman rasmi sebaik sahaja mendapat suatu tarikh yang bersesuaian,” ujarnya.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929