BATIK yang merupakan tekstil tradisi masyarakat di Nusantara terutamanya Malaysia sentiasa mendapat tempat lebih-lebih lagi untuk dipakai ketika menghadiri majlis-majlis rasmi.
Ia mempunyai tarikan dan kelas tersendiri dan kini menjadi kebanggaan rakyat negara ini memandangkan Malaysia antara pengeluar batik berkualiti tinggi dan disegani di dunia.
Minggu ini, kolum Stailo memberikan satu produk batik tempatan yang semakin meningkat naik iaitu Jafiqa Couture. Jenama tersebut menggunakan teknik lama yang semakin dilupakan iaitu batik block dan teknik retak dengan memberi nafas baharu.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
PERSALINAN batik tidak luput ditelan zaman dan mempunyai peminat setia kerana menarik dipakai ke mana sahaja serta disuntik dengan pelbagai gaya rekaan fesyen untuk disesuaikan dengan kehidupan masa kini.
Justeru, tidak hairanlah tekstil tradisi itu mempunyai kelas tersendiri yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia selain merupakan item wajib dimiliki oleh para pelancong sebagai cenderamata apabila berkunjung ke negara ini.
Salah satu jenama pakaian batik yang tidak asing lagi iaitu Jafiqa Couture tampil dengan keistimewaannya tersendiri sehingga mempunyai pelanggan setia dari pelbagai negara.
Menurut pemilik dan perekanya, Jasni Abdullah atau lebih dikenali sebagai Jafiqa, dia mengetengahkan konsep kontemporari moden klasik dan pakaian resort (resort wear).
“Keistimewaan jenama ini ialah saya menggunakan teknik lama yang semakin dilupakan iaitu batik block dan teknik retak dengan memberi nafas baharu.
“Sebagai contoh, teknik retak menghasilkan corak seperti buih-buih ombak yang sangat sesuai untuk menggambarkan Pulau Langkawi iaitu merupakan lokasi butik ini berada sekarang,” katanya yang telah menjalankan perusahaan tersebut sejak dua dekad lalu.

Terangnya, terdapat sekitar 155 rekaan yang ditawarkan di butik tersebut meliputi pelbagai jenis baju kurung, kebaya, kaftan, pario, skaf, kemeja, baju Melayu dan selendang.
Jafiqa memberitahu, dia akan memastikan rekaannya tidak hanya cantik dipandang tetapi praktikal untuk dipakai ke mana sahaja serta mudah untuk disuai padan.
“Saya memberi tumpuan kepada rekaan baju tradisional dan klasik kerana ia malar segar serta sesuai digayakan bagi apa jua majlis.
“Rekaan corak batik kami juga sangat eksklusif yang mana ia tidak akan dibuat untuk kali kedua,” tuturnya yang merupakan usahawan di bawah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan Geoproduk Langkawi.
Hasil kreativitinya terserlah apabila Jafiqa banyak menghasilkan corak batik yang bermotifkan keindahan Pulau Langkawi seperti pantai, terumbu karang dan pokok bakau.
Antara fabrik yang digunakan untuk menghasilkan produk batik pula ialah kasarubia, kapas Jepun, kapas Mesir, kapas linen, linen dan sutera asli.
Menariknya, Jafiq juga menggunakan bahan-bahan semula jadi untuk mewarna batik tersebut seperti kunyit hidup, arang, sabut pinang, kulit manggis dan air daun pandan.

Batik keluaran Jafiqa itu juga boleh dibasuh menggunakan mesin basuh dan pastinya hal ini menjadi berita gembira buat para pelanggan.
Keistimewaan tersebut membuatkan jenama itu turut diberi peluang menjadi pembekal batik kepada beberapa butik di luar negara seperti di Paris, Perancis; Sydney, Australia dan Singapura.
Koleksi Jafiqa Couture boleh dibeli secara online atau terus ke butiknya dengan tawaran harga bermula RM28 hingga ribuan ringgit bergantung kepada fabrik dan corak rekaan.














