PETALING JAYA – Hanya 75 slot janji temu bagi permohonan kebenaran berkahwin dibuka kepada umum ketika ini selaras dengan keupayaan semasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, mereka terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang ketika ini membenarkan sehingga 60 peratus kakitangannya bertugas di pejabat.
Ketika ini, Selangor berada dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN)
“Kita hanya boleh menawarkan slot sebanyak itu buat masa ini. Memang ramai pasangan yang nak berkahwin. Sejak Jun lagi, orang menunggu giliran mereka untuk ke PAID bagi urusan berkenaan.
“Jadi, saya berharap semua dapat bersabar dan menggunakan kaedah menempah slot janji temu menerusi laman web kami,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas rintihan bakal pengantin yang terpaksa menangguhkan pernikahan mereka kerana gagal menempah slot janji temu bagi memohon kebenaran berkahwin di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) masing-masing.
JAIS dalam satu kenyataannya sebelum ini memaklumkan, Selangor telah membenarkan pelaksanaan majlis akad nikah di masjid-masjid, JAIS dan PAID mulai Rabu lalu.
Menurut kenyataan itu, majlis berkenaan boleh dilangsungkan setiap hari, namun jumlah kehadiran adalah terhad kepada pasangan pengantin dan wali sahaja.
Bagaimanapun, individu lain tidak dibenarkan hadir termasuk jurugambar.
Bagi sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian 03-55143400 atau 03-55143600 atau e-mel [email protected].














