MUNGKIN ramai orang mempunyai anak yang menghadapi masalah pertuturan atau dalam erti kata lain lambat bercakap.
Bagi sesetengah orang, ada yang melihat ia adalah perkara biasa dan tidak perlu berasa bimbang dengannya, tetapi percayalah ia adalah sesuatu yang perlu diberikan perhatian serius.
Pada satu ketika dahulu, kesedaran untuk mendapatkan pakar terapi bagi merawat masalah berkenaan agak rendah, namun kini ramai ibu dan bapa mula sedar dan semakin terbuka untuk membawa anak mereka mendapatkan rawatan.
Atas faktor itulah yang menjadikan lebih banyak kes kelewatan bercakap dilihat pada hari ini.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
VIDEO-VIDEONYA yang sering berkongsi masalah pertuturan dalam kalangan anak kecil bagi meningkatkan kesedaran umum terutamanya golongan ibu bapa mengenai masalah itu menyebabkan laman sosial pemilik nama Nur Athirah Zainul Abidin sering menjadi rujukan umum.
Melihatkan kesungguhan juruterapi pertuturan bahasa ini memberi penerangan dengan ringkas dan jelas, ternyata wanita ini merupakan seorang yang sangat bersemangat serta berdedikasi dalam menjalankan tugasnya.
Paling membuatkan wanita kelahiran Kulim, Kedah ini terharu adalah apabila melihat kliennya menunjukkan progres memberangsangkan selepas menjalani sesi terapi.
Lantaran itu, wanita ini mengambil pendekatan menggunakan media sosialnya untuk berkongsi ilmu dimiliki.
“Saya masih terlalu baharu dalam bidang ini dibandingkan dengan juruterapi lain yang lebih berpengalaman. Masih banyak perlu dipelajari.
“Masih segar di ingatan kata-kata kakak sewaktu saya tekad untuk menjadi juruterapi pertuturan bahasa berbanding bidang perubatan suatu ketika dahulu.
“Katanya, jika ingin menolong orang, tidak semestinya dengan menjadi doktor atau ahli farmasi. Apa jua kerja yang dilakukan kita masih boleh bantu orang sekeliling dan sebar manfaat.
“Tambahan pula, kerjaya ini akan menjadi bidang sangat diperlukan dalam komuniti pada masa beberapa tahun akan datang,” katanya memulakan bicara.
Ujar wanita ini lagi, sesiapa sahaja boleh dilatih untuk menjadi terapi pertuturan bahasa asalkan bersungguh untuk belajar dan mengasah skil klinikal.

Berkecimpung dalam bidang tersebut, Athirah menyaksikan pelbagai masalah kesukaran berkomunikasi dalam kalangan kanak-kanak.
Biarpun senario tersebut dilihat semakin meningkat, namun kongsi anak bongsu daripada empat beradik ini lagi, masalah itu sebenarnya telah wujud sejak dahulu lagi.
Bagaimanapun, oleh kerana kesedaran masih kurang, ia jarang diambil perhatian. Berbeza pada masa kini yang mana golongan ibu dan bapa mula sedar dan semakin terbuka untuk membawa anakanak mereka mendapatkan rawatan.
Atas faktor itulah yang menjadikan lebih banyak kes kelewatan bercakap dilihat pada hari ini.
“Tidak dinafikan, perubahan zaman dan persekitaran juga menjadi faktor penyumbang. Jika dahulu, kebanyakan kes disebabkan faktor genetik dan kesihatan.
“Kini kebanyakan kes disebabkan faktor persekitaran seperti kurang rangsangan dan pendedahan berlebihan kepada skrin.
“Sehingga anak yang tiada masalah kesihatan atau bukan golongan berisiko turut mengalami masalah kelewatan bercakap.
“Selain itu, anak-anak itu mempunyai pseudo-autism atau bahasa mudahnya kita label sebagai ‘autisme celup’ yang yang mempunyai ciri-ciri seakanakan autisme disebabkan dua faktor persekitaran tersebut,” katanya.
Ujarnya lagi, faktor tersebut turut disebabkan kesibukan ibu bapa yang bekerja dan perlu mencari rezeki sehinggakan anak-anak berada di bawah jagaan pengasuh atau penjaga di taska dari pagi hingga petang.

Apabila pulang lewat malam, masing-masing sudah penat. Keadaan itu menyebabkan kurangnya interaksi berkualiti antara ibu bapa dan anak.
Ini menjadikan kurangnya rangsangan hingga menjurus kepada masalah kelewatan perkembangan dalam sesetengah kes.
“Ada sahaja ibu bapa bekerja, tetapi masih boleh memberi rangsangan secukupnya kepada anak.
“Bagaimanapun, apa yang saya lihat, ada sesetengah ibu bapa berasa sukar kerana kurang mendapat panduan atau tidak tahu cara betul dalam membantu perkembangan anak,” terangnya.
Ujar Athirah, jika ibu bapa yang ada kebimbangan mengenai perkembangan anak, mereka digalakkan untuk terus bawa berjumpa dengan doktor atau pakar terapi untuk penilaian.
Ini kerana semakin awal ibu bapa bertindak, semakin cepat masalah dapat dikesan dan dirawat.






