IPOH – Perak menutup tirai Liga Super 2021 dengan kemenangan 2-1 ke atas Sabah FC di Stadium Perak sebentar tadi.
Dengan kemenangan ini The Bos Gaurus berjaya mengekalkan kedudukan di tangga ke-11 untuk mengatasi UiTM, sekali gus layak ke Piala Malaysia.
Pada perlawanan tadi, Nana Poku muncul wira pasukan apabila menjaringkan dua gol pada setiap babak.
Penyerang dari Ghana itu menjaringkan gol pertama pada minit 19 dan menambah luka pelawat pada minit ke-69.
Sabah merapatkan jurang melalui jaringan Taesu Park pada minit ke-83 tetapi ia nyata sudah terlambat untuk menyelamat perlawanan.
Tanpa sebarang kemenangan dalam lapan perlawanan Perak FC, Perak mempamer permainan kemas dan tersusun untuk mengenakan tekanan kepada pelawat.
Berbanding lapan perlawanan sebelum ini, skuad bimbingan Mohd. Shahril Nizam Khalil beraksi cemerlang disetiap bahagian.
Malah, tuan rumah mampu menang dengan jurang lebih besar jika Muhammad Adib Abdul Ra’op dan Mohd. Zulkifli Zakaria menyudahkan peluang diperolehi pada babak kedua.
Sabah juga hanya boleh menyalahkan diri sendiri kerana gagal menyudahkan peluang terbuka di penghujung perlawanan. – K! ONLINE