SETIAP orang mungkin ada kisah seram yang pernah terjadi dalam hidup sama ada terserempak dengan makhkluk menyeramkan atau terdengar bunyi-bunyi pelik yang boleh menegakkan bulu roma.
Minggu ini, kolum Mitos membawakan kisah dua sahabat karib yang gemar memancing ikan pada waktu malam terserempak dengan puntianak ketika memandu ke satu lokasi untuk melakukan aktiviti kegemaran mereka.
Inilah pertama kali dalam hidup mereka terserempak secara berdepan dengan makhluk halus yang amat menyeramkan itu lebih-lebih lagi pada wantu tengah malam yang sunyi.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
SEBAIK habis waktu bekerja sekitar pukul 10 malam, lelaki berusia 45 tahun itu terus bergegas pulang ke rumahnya yang terletak di Ampang, Selangor.
Mohd. Ridzuan Ab. Syukor sempat berbaring di atas katil selama 45 minit sebelum berjalan menuju ke bilik stor untuk mencari kelengkapan memancing seperti joran dan mata kail.
Memandangkan keesokannya adalah cuti hujung minggu, dia berhasrat untuk pergi memancing ikan di Empangan Semenyih bersama seorang rakannya.
“Saya dan rakan selalu memancing sama-sama di empangan itu. Biasanya, kami ke sana pada malam hujung minggu memandangkan keesokannya tidak bekerja.
“Kami suka memancing waktu malam kerana tidak perlu berpanas. Lagi pula, ada beberapa spesies ikan di empangan itu yang gemar memakan umpan pada waktu dinihari,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.
Tepat pukul 12 tengah malam, dia dan rakannya bergerak menaiki sebuah kereta menuju ke Empangan Semenyih yang terletak kira-kira 40 kilometer perjalanan dari ibu kota.
Mohd. Ridzuan yang memandu kenderaan pada hari itu memilih melalui Jalan Sungai Tekali untuk menuju ke empangan yang terletak bersempadan antara Selangor-Negeri Sembilan.
Apabila melepasi Kampung Sungai Tekali, Mohd. Ridzuan mendapati kawasan tersebut seperti baru lepas hujan lebat kerana jalan tar masih basah, selain sedikit berkabus.
Sebaik menghampiri kawasan Bukit Hantu, dia memilih untuk memandu secara lebih perlahan sekitar 70 kilometer sejam memandangkan laluan tersebut agak berliku dan gelap.
“Di dalam kereta, kami selalunya menghabiskan masa dengan berbual bagi menghilangkan rasa mengantuk,” terangnya.

Ketika tiba di satu selekoh, dia terkejut selepas ternampak kelibat makhluk berwarna putih berambut panjang berdiri betul-betul di tepi jalan.
Dia tergamam seketika dan tidak menoleh ke arah rakannya kerana terlalu takut.
“Disebabkan jalan di situ gelap, saya menggunakan lampu tinggi. Apabila tiba di satu selekoh berhampiran Bukit Hantu, saya nampak kelibat makhluk berwarna putih.
“Saya yakin ia puntianak kerana rambutnya mengurai panjang hingga paras pinggang. Hendak kata pocong, saya tidak nampak pula lebihan kain seperti bunjut di atas kepalanya.
“Mukanya saya tidak nampak kerana keadaan di situ sangat gelap. Masa itu, hanya kami yang lalu kawasan tersebut tiada ada kenderaan lain,” imbaunya.
Selepas ternampak makhluk itu, Mohd. Ridzuan tetap meneruskan perjalanan untuk memancing biarpun diselubungi perasaan takut dan bulu romanya masih meremang.
Dia yang masih takut mula memandu kenderaan pada kelajuan tinggi dengan harapan puntianak itu tidak mengekori kenderaannya.
“Selepas nampak puntianak itu, saya terus pecut kereta dengan laju. Saya tidak bercakap sepatah pun dengan rakan kerana tidak mahu puntianak itu mengikut kami.
“Apabila tiba di empangan, baru kami saling bercerita. Saya tanya rakan sama ada dia nampak kelibat makhluk putih tersebut. Dia mengangguk sebagai tanda betul,” ceritanya.
Nasib baik, ujarnya, ketika memancing mereka tidak mengalami kejadian menyeramkan.
Tegas Mohd. Ridzuan, Bukit Hantu memang terkenal dengan kisah-kisah seram, terutamanya dalam kalangan penduduk tempatan seiring dengan namanya yang menyeramkan.
Katanya, laluan di Bukit Hantu semakin popular sejak kebelakangan ini terutamanya dalam kalangan penunggang motosikal yang ingin ‘melayan’ selekoh dan pengayuh basikal.
“Mereka hanya berani berbuat demikian pada waktu siang sahaja.
“Pada sebelah malam, memang tidak ada orang hendak buat aktiviti berkenaan.
Hendak lalu pun takut kerana terlalu gelap serta sunyi. Tidak hairanlah kawasan ini sangat menyeramkan,” ujarnya.
—————————————————————————-
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan
kepercayaan karut atau tahyul.















