AISHAH memaklumkan sudah pulih daripada jangkitan Covid-19 dan dibenarkan pulang ke rumah.

12 hari dirawat di hospital, Aishah kini keluar wad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Selepas 12 hari dirawat di Hospital Ampang akibat dijangkiti Covid-19, penyanyi Aishah gembira kerana dibenarkan pulang ke rumah, semalam.

Perkara tersebut dikongsikan sendiri penyanyi yang popular dengan lagu Janji Manismu itu menerusi beberapa perkongsian dalam Instagram.

“Alhamdulillah, tak tahu nak cakap macam mana, betapa bersyukurnya. Hari yang dinanti-nantikan. Dapat balik rumah, alhamdulillah. Terkenangkan rumah dah.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan. Sekarang, doakan juga untuk proses kesembuhan saya okey,” katanya dalam sebuah video.

Sebelum meninggalkan kawasan wad, penyanyi berusia 56 tahun itu sempat menyanyikan lagu Bahtera Merdeka dan mengucapkan terima kasih kepada barisan petugas hadapan yang banyak membantunya sepanjang dirawat di wad.

“Masuk hospital pada 30 Ogos, tak sempat nyanyi lagu ini. Terima kasih petugas barisan hadapan.

“Ini wajah-wajahnya, ada masanya baik, ada masanya macam drakula, sebab tak ambil darah aku kiri kanan sampai lebam biru. Ini wajahnya yang tak habis-habis cucuk jarum.

“Pagi-pagi buta ingatkan apa mereka nak, rupa-rupanya mereka nak ambil gambar. Terima kasih banyak. Kalau ada buat majlis makan malam tahunan, jemput saja saya, nanti kita nyanyi lagu Janji Manismu sama-sama,” selorohnya dalam sebuah lagi video berasingan.

Selain itu, Aishah turut memuat naik beberapa hantaran memaparkan dirinya bergambar dengan petugas di hospital atas rasa terima kasih kerana telah menjaga dirinya selama 12 hari di sana.

“Jangan sesekali ambil mudah tentang anugerah kesihatan yang diberikan. Seperti diberikan peluang kedua untuk memperbaiki diri,” katanya.

Terdahulu, Aishah mengesahkan diri positif Covid-19 pada 30 Ogos lalu selepas menjalani ujian calitan sehari sebelumnya.

Dia melakukan Kit Ujian Pantas (RTK) di sebuah pusat perubatan swasta sebelum disarankan doktor untuk segera mendapatkan rawatan berikutan paras oksigennya menurun ke 92 peratus. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN