SEBANYAK 40 karya seni dipamerkan dalam pameran lukisan dalam talian anjuran Artas Galeri.
Ia menonjolkan ekspresi patriotisme yang diluahkan para pelukis di atas kanvas berteraskan empat warna pada bendera Malaysia atau Jalur Gemilang iaitu merah, putih, kuning dan biru.
Antara motif utama lukisan yang dipamerkan adalah bunga raya serta rama-rama yang mencerminkan masyarakat majmuk yang bersama membina idenditi negara melalui kerjasama dan perpaduan yang padu antara kaum.
Pelukis popular antarabangsa yang karyanya dipamerkan di Milan, Itali, Jaee Tee turut menyertai pameran itu demi menzahirkan semangat cintakan negara.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
LUKISAN bunga raya nukilan seorang pelukis tempatan, Najib Bamadhaj pada kanvas bersaiz 5×5 kaki (1.5×1.5 meter) itu berjaya mencuri perhatian seorang peguam yang juga pengumpul karya seni, Brendan Navin Siva.
Bagi Brendan, bunga raya yang dijadikan motif utama lukisan itu dengan rama-rama di sekelilingnya mencerminkan masyarakat majmuk yang bersama-sama membina identiti negara melalui kerjasama dan perpaduan yang kukuh.
Biarpun sudah dua tahun Hari Kemerdekaan diraikan tanpa sambutan gilang gemilang ekoran pandemik Covid-19, namun melihat karya Najib dan lukisan-lukisan bertemakan kemerdekaan pada pameran dalam talian berjudul Jalur Gemilang anjuran Artas Galeri itu sekurang-kurangnya mampu menceriakan sambutan kemerdekaan.
Sememangnya sejak pandemik melanda awal tahun 2020, masyarakat hanya menyambut Hari Kemerdekaan yang jatuh pada 31 Ogos secara sederhana bersama keluarga tercinta di kediaman masing-masing.
Sebagai alternatif, Roy Ng yang merupakan pengarah galeri tersebut mengambil inisiatif menjadikan lukisan sebagai platform mengekspresi dan menyuntik semangat cintakan negara dengan menjemput 27 pelukis popular dan berpengalaman tanah air bagi menyertai pameran lukisan online yang dipaparkan menerusi pautan yang diberikan di platform Facebook Artas Galeri. Pameran berlangsung sepanjang Bulan Kemerdekaan sehingga 16 September ini.

Akui Ng, sebanyak 40 karya seni yang dipamerkan itu mampu menonjolkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat. Lebih menarik, karya-karya yang dihasilkan hanya menggunakan empat warna pada Jalur Gemilang iaitu merah, kuning, biru dan putih.
“Kita semua tahu setiap warna di dalam Jalur Gemilang mempunyai simbolik paling bermakna yang mana biru melambangkan perpaduan rakyat pelbagai kaum, manakala merah pula simbolik keberanian.
“Putih melambangkan kesucian dan keluhuran hati rakyat, manakala kuning pula lambang warna diraja, khususnya menggambarkan kedaulatan Raja-Raja Melayu yang berperlembagaan.
“Warna-warna ini dipilih kerana mahu semangat yang ada pada bendera terus subur dalam diri individu dan meningkatkan semangat cinta kepada negara biarpun masyarakat kini berjuang melawan Covid-19,” katanya.
Jelasnya lagi, tema Jalur Gemilang dipilih kerana melambangkan perpaduan bangsa dan kesepakatan masyarakat mengharungi situasi sukar, bersesuaian dengan keadaan semasa apabila rakyat berperang dengan Covid-19.
Pelukis popular antarabangsa yang karyanya dipamerkan di Milan, Itali, Jaee Tee turut menyertai pameran itu demi menzahirkan semangat cintakan negara.
Sering menghasilkan karya bertema patriotisme, Jaee mengakui dirinya begitu tersentuh membaca buku berjudul Chronicle of Malaysia, yang menceritakan kesukaran Bapa Kemerdekaan Negara, Tunku Abdul Rahman dalam menjadikan Malaysia sebuah negara merdeka.
Tidak dapat menggambarkan kesukaran dan perit getir dialami masyarakat dahulu demi membebaskan diri daripada dijajah, Jaee menjadikannya sebagai inspirasi untuk mengabadikan sejarah kemerdekaan negara dengan seni sentuhan tangannya.
“Sukar menggambarkan perasaan apabila mengetahui ramai yang terpaksa bergadai harta, wang ringgit dan barang kemas untuk membantu membiayai perjalanan Tunku Abdul Rahman ke London bagi membuat rundingan kemerdekaan dengan British.
“Saya begitu terkesan apabila mendapati selepas Tunku berjaya membuat rundingan, beliau memilih membuat pengumuman rasmi kepada masyarakat di Melaka sebagai simbolik permulaan penjajahan di Tanah Melayu.
“Bagaimanapun, kerana kekurangan sumber, mereka tidak mampu membina pentas untuk membuat pengumuman. Sebaliknya meminjam dua buah lori daripada seorang tauke berbangsa Cina lalu dijadikan pentas,” ceritanya.

Di sebalik peristiwa besar yang berlaku 64 tahun lalu, mungkin masih ramai lagi individu yang tidak berapa mengetahui detik-detik penting kemerdekaan negara.
Justeru tegas Jaee, sejarah tersebut perlu diceritakan untuk kebaikan generasi akan datang supaya mereka memahami maksud sebenar kemerdekaan, seterusnya menghargai apa yang dimiliki.
Menyelami setiap maksud yang terdapat dalam buku itu, Jaee mempertaruhkan dua lukisan berjudul Fervor I yang berkisar semangat dan Fervor II mengenai keteguhan dalam pameran Jalur Gemilang tersebut.
Memilih bunga kebangsaan, bunga raya sebagai motif utama, ia dilakukan kerana bunga raya melambangkan keberanian dan martabat dengan merah dijadikan palet warna utama sebagai simbolik keberanian dan maruah negara.
Baginya, lukisan tersebut menggambarkan erti kemerdekaan sebenar yang mana peristiwa yang berlaku pada tanggal 31 Ogos 1957 itu bukan sekadar sejarah yang tercatat pada sehelai kertas, tetapi lebih kepada kemerdekaan individu dari segi pemikiran.
“Saya berharap menerusi karya-karya seni ini dapat mengingatkan orang ramai bahawa di sebalik ketegangan yang berlaku, pasti ada kecantikannya.Biarpun sedang berperang dengan Covid-19 serta tidak pasti untung nasib, hargai setiap apa yang dimiliki.
“Jika kita imbau kembali 64 tahun kebelakangan ini, pasti banyak pengajaran yang boleh diambil dan ia akan membantu negara memiliki pemerintahan yang bagus.
“Saya percaya bahawa dengan perpaduan dan kasih sayang, kita rakyat Malaysia dapat mengatasi apa jua halangan yang dihadapi,” jelasnya.
Berbeza pula bagi Najib yang merupakan pelukis kelahiran Muar.
Menerusi pameran bersempena Hari Kemerdekaan itu, dia mempertaruhkan lukisan berjudul hope-igNation yang menceritakan mengenai harapan rakyat untuk mendapat ‘kemerdekaan’ yang lebih baik di sebalik ketidakstabilan politik negara selain kehidupan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Lukisan bermotif bunga raya yang dihasilkan Najib itu merupakan antara karya menarik yang dipamerkan dalam pameran itu.
Orang ramai boleh memberikan tafsiran tertentu apabila melihat setiap lukisan, namun sebagai pelukis, ia pastinya mempunyai interpretasi tersendiri.
“Bunga raya yang mekar ini merupakan simbol negara yang tercinta dan lima titik putih pada stamen bunga itu pula melambangkan kesucian lima Rukun Negara yang masih kekal diguna pakai.
“Sementara itu rama-rama kuning yang berterbangan pula merupakan simbolik rakyat yang mahukan kebebasan seperti keadaan pascapandemik Covid-19 selain simbol harapan yang cerah kepada negara,” jelasnya.

Menyentuh mengenai erti kemerdekaan, bagi Najib kemerdekaan bererti kemakmuran dalam masyarakat majmuk serta kestabilan politik dan ekonomi negara.
“Kita perlu berbangga dan cintakan negara sama seperti keluarga sendiri. Justeru, kesepakatan perlu dicapai dalam menerima pemimpin yang dipilih supaya Malaysia terus menjadi contoh kepada negara lain seperti dahulu.
Jelas bekas graduan Universiti Teknologi Mara Shah Alam ini lagi, dia mengambil masa hampir sebulan untuk menyiapkan karya tersebut kerana perlu mengkaji bagaimana mahu mengadaptasikan warna-warna pada bendera untuk dijadikan lukisan, selain mesej yang ingin disampaikan.
Penat lelahnya demi menjayakan pameran itu berbaloi apabila karya dihasilkan itu dibeli seorang peguam untuk dijadikan koleksi.
















