PETALING JAYA – Kehilangan hampir 80 peratus sumber pendapatan akibat pandemik Covid-19 menyebabkan seorang pekerja swasta murung dan nyaris bertindak di luar kawalan dengan mencabut nyawanya sendiri.
Wanita yang mahu dikenali sebagai Fiza itu mendakwa, dia terfikir untuk membunuh diri kerana berasa tertekan selepas tiada jalan keluar bagi menyelesaikan masalah yang dihadapinya.
Sebelum pandemik, Fiza memberitahu dia memperoleh gaji RM5,000 sebulan sebelum merosot kepada RM1,000.
“Pendapatan saya merosot teruk disebabkan tugasan berkurangan kerana banyak sektor tidak dibenarkan beroperasi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Apabila gaji berkurang saya tidak dapat membayar komitmen bulanan. Keadaan itu menyebabkan saya murung dan pernah dua kali terfikir untuk membunuh diri,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Menurut Fiza, dia mempunyai masalah kebimbangan melampau sejak dua tahun lalu dan keadaan itu bertambah teruk disebabkan kemurungan semasa musim pandemik.
Jelas wanita itu, disebabkan pendapatan berkurangan, dia terpaksa berhutang dengan rakan-rakan selepas duit simpanannya habis bagi melangsaikan komitmen bulanan.
Disebabkan masalah kemurungan itu, Fiza mendedahkan dia terpaksa mengambil ubat, namun terpaksa dihentikan kerana tidak dapat fokus ketika bekerja termasuk kerap dimarahi majikan disebabkan prestasi kerja yang kurang memuaskan.
“Orang lain mungkin beranggapan saya terlalu sensitif, namun mereka tidak memahami kerana tidak berada di tempat saya. Kini saya dalam proses untuk bangkit semula,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Alex mendedahkan, dia mengalami masalah kemurungan dan hari-hari yang dilalui selama lapan tahun kosong sebelum mendapatkan rawatan pakar.
“Sejak tahun 2010, saya mula menunjukkan simptom-simptom murung dan sedih yang berpanjangan tanpa sebab hingga mengganggu kehidupan harian seperti hilang semangat untuk meneruskan hidup.
“Saya suka menyendiri dan tidak mahu berjumpa kawan-kawan. Keadaan itu berubah sekelip mata memandangkan sebelum ini saya seorang yang ceria,” katanya.
Jelas pemuda berusia 35 tahun itu, dia bernasib baik tidak bertindak di luar batasan kerana rakan-rakan yang menyedari perubahan sikapnya menasihatinya supaya segera mendapatkan rawatan.
“Saya mendapatkan rawatan psikiatri di Pusat Perubatan Universiti Malaya dan sehingga kini masih bergantung dengan ubat-ubatan.
“Nasihat saya, jika anda mempunyai simptom kemurungan, segeralah berjumpa doktor. Jangan dibiarkan berlarutan kerana ia boleh mengundang tindakan luar jangka termasuk bunuh diri,” kata Alex.














