PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia hampir dua tahun ternyata memberi kesan yang besar kepada kehidupan masyarakat di seluruh dunia.
Bagi membendung masalah itu daripada terus meragut nyawa, pelbagai jenis vaksin telah dihasilkan bagi memberikan perlindungan terhadap jangkitan tersebut.
Bagi seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Erah, dia turut mendapatkan suntikan vaksin dan sudah menerima dua dos vaksin.
“Walaupun telah mendapat dua dos vaksin, saya masih risau setelah membaca laporan yang mengatakan antibodi suntikan vaksin merosot selepas beberapa bulan.
“Selain itu, kemunculan varian-varian baharu yang lebih ganas juga semakin merumitkan masalah ini,” luahnya kepada K2.
Tambahnya, dia akur sekiranya perlu mendapatkan dos ketiga vaksin jika langkah itu mampu memberi kesan perlindungan yang lebih baik.
Mengenai impak pengambilan vaksin terhadap sesuatu jangkitan penyakit, Pensyarah Mikrobiologi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Liyana Azmi menerangkan, secara umumnya, antibodi yang dihasilkan selepas vaksinasi atau setelah sesuatu jangkitan menurun dalam sela masa tertentu.
Bagaimanapun kata Liyana, sekiranya vaksin terbabit merangsang tindak balas sel B iaitu sel yang menghasilkan sel memori, maka sesuatu jangkitan masih boleh dicegah atau dilawan.
“Ini kerana, sel memori akan menjadi aktif dan mengeluarkan antibodi apabila terdapat jangkitan baharu.
“Pun begitu, kajian klinikal setakat ini menunjukkan bahawa paras antibodi yang terhasil selepas dos pertama adalah rendah dan hanya mampu mencegah lebih kurang 50 peratus jangkitan,” terangnya.
Tetapi tambahnya, perlindungan selepas mendapat dos kedua adalah sangat tinggi iaitu sehingga lebih 90 peratus.

Jelasnya, secara teori, apabila vaksin dos pertama disuntik, sistem imun badan akan menghasilkan antibodi serta sel-sel memori yang spesifik kepada kuman tersebut.
Tindak balas ini dikenali sebagai respons primer. Respons primer mengambil masa beberapa hari sebelum antibodi terhasil.
“Antibodi pada mulanya dihasilkan dalam kuantiti yang agak rendah. Apabila dos kedua diberikan, sel-sel memori telah mengenali antigen yang terdapat di dalam vaksin dan akan terus bertindak dengan cepat.
“Tindak balas ini pula dikenali sebagai respons sekunder. Respons sekunder adalah lebih cepat dan bilangan antibodi yang terhasil adalah lebih banyak,” jelas Liyana.
Tambahnya, lebih banyak antibodi dan sel memori yang terhasil, maka perlindungan adalah lebih baik.
Pun begitu, Liyana mengingatkan, vaksin tidak menyebabkan seseorang kebal daripada jangkitan. Tetapi dengan adanya antibodi dan sel memori di dalam badan, sistem imun dapat bertindak dengan pantas melawan virus dan menghalang virus daripada terus menguasai dan menyebabkan komplikasi.

Dalam pada itu, bagi virus Covid-19, proses evolusi bagi virus ini berlaku amat pantas.
Sejak tercetus pandemik Covid-19 ini, pelbagai varian baharu muncul melalui proses mutasi. Varian Delta dan Lambda dikatakan lebih ganas dan memerlukan dos ketiga vaksin bagi mencegahnya.
Pengeluar vaksin Pfizer baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa suntikan dos ketiga vaksin Pfizer dijangka lebih kuat dan berupaya meningkatkan perlindungan bagi melawan varian Delta.
New York Post melaporkan, syarikat farmaseutikal tersebut menerusi data dikeluarkan, menyatakan suntikan dos ketiga atau penggalak itu dapat meningkatkan kadar antibodi terhadap mutasi, lebih lima kali ganda buat
individu berusia 18 hingga 55 tahun, dibandingkan dengan hanya dua dos.
Bagi mereka yang berumur 65 hingga 85 tahun, dos ketiga meningkatkan tahap antibodi lebih 11 kali ganda.
Kumpulan penyelidik mengatakan hasil penemuan yang belum diterbitkan secara rasmi dalam jurnal ilmiah itu menunjukkan suntikan dos ketiga sangat meningkatkan perlindungan terhadap varian Delta.
Pakar Mikrobiologi Klinikal USIM, Prof. Madya Dr. Nurul Azmawati Mohamed pula berkata, mengenai ura-ura pemberian dos ketiga vaksin Covid-19, kemungkinan untuk kita diberikan lebih daripada dua dos vaksin itu ada.
Menurutnya, pemberian vaksin dos ketiga itu dipengaruhi oleh dua faktor utama.
“Faktor pertama ialah mengenai keberkesanan vaksin. Kajian menunjukkan bahawa paras antibodi menurun tiga hingga enam bulan selepas dos kedua.
“Tetapi sel memori masih kekal di dalam badan dan akan menjadi aktif lalu berupaya beri perlindungan sekiranya terdapat jangkitan Covid-19,” ulasnya.
Bagaimanapun tambahnya, kajian mendapati apabila dos ketiga diberikan selepas enam hingga lapan bulan dos kedua, dos ketiga sesuatu vaksin Covid-19 secara umumnya dapat meningkatkan paras antibodi sebanyak tiga kali ganda.
Tegasnya, setakat ini kebanyakan kajian menunjukkan kesan yang lebih baik sekiranya mengambil lebih daripada dua dos.

Azmawati menjelaskan, faktor kedua pula ialah faktor mutasi virus sekali gus kita mungkin memerlukan dos ketiga atau suntikan vaksin setiap tahun seiring mutasi yang berlaku.
“Kita tahu bahawa virus SARS-COV-2 penyebab Covid-19 berupaya bermutasi dan menghasilkan varian baharu. Jika keberkesanan vaksin terhadap varian baharu berkurangan, tidak mustahil juga vaksin yang baharu perlu dihasilkan dan diberikan kepada kita.
“Contohnya seperti sekarang ini, vaksin influenza perlu diformulasi setiap tahun berdasarkan varian semasa. Setiap tahun formulasinya berubah. Jadi suntikan vaksin influenza perlu diperbaharui setiap tahun,” terangnya.
Tambahnya, Covid-19 juga mungkin akan menjadi seperti influenza yang mana jangkitan akan terus ada dalam masyarakat, namun tahap keterukan jangkitan dan kadar kematian dapat dikurangkan dengan pengambilan vaksin.

Pun begitu kata Nurul Azmawati, banyak lagi kajian perlu dilakukan sebelum polisi tiga dos ini dapat dimulakan di negara ini.
“Buat masa ini, keutamaan harus diberi kepada mereka yang masih belum mendapatkan dos pertama dan kedua.
“Sekurang-kurangnya apabila populasi besar masyarakat kita sudah menerima minimum dua dos, kita sudah mempunyai perlindungan asas untuk melawan jangkitan Covid-19,” katanya.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar pula mengakui ada keperluan untuk kita mendapatkan vaksin dos ketiga.
“Dos ketiga ini penting kerana mungkin keberkesanan dos kedua menurun dan tahap imuniti berkurangan. Selain itu, kemunculan varian-varian baharu juga membimbangkan dan dos ketiga ini mungkin menjadi keperluan untuk masa hadapan,” jelasnya.
Tambahnya, buat masa sekarang dos satu dan dua juga masih berkesan untuk memberi perlindungan.
Sarannya, sebelum pemberian vaksin dos ketiga dilaksanakan, perlulah dipastikan semua orang lengkap mendapat dos pertama dan kedua dahulu. Ini termasuk mereka yang berumur antara 12 hingga 17 tahun.
“Selari dengan nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kita perlu memastikan semua orang mendapat dos pertama dan kedua terlebih dahulu.
“Apabila semua sudah mendapat suntikan vaksin dos pertama dan kedua kemudian baru kita memikirkan pelan untuk pemberian dos ketiga,” terangnya.














