Keratan akhbar Kosmo! semalam.

Pasangan berjauhan terlalu lama punca curang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Suami isteri perlu berbincang dan mempu­nyai sikap toleransi bagi menjaga rumah tangga terutama bagi pasangan yang terpaksa tinggal berjauhan.

Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh berkata, masalah pasangan curang kerana terpaksa berjauhan bukan perkara baharu, malah dilihat semakin ketara sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Ini termasuklah situasi pasa­ngan yang terpisah kerana te­r­ikat dengan kerja di luar negara atau negeri lain.

“Apabila mereka ini berjauhan terlalu lama, boleh berhubung melalui telefon sahaja, maka ia amat memudahkan campur tangan pihak ketiga. Boleh datang dari pelbagai faktor, namun yang paling ketara ialah apabila pasa­ngan berasa sunyi.

“Selain itu, tontonan video-video di internet juga boleh membangkitkan keinginan sehingga perlakuan tidak elok,” kata­nya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Hushim berkata, kewujudan laman sosial atau ‘group’ yang digunakan untuk berkongsi kesunyian atau masalah rumah tangga­ turut menjadi penyebab kepada berlakunya kes-kes curang dan perlakuan sumbang.

Berita berkaitan: Isteri curang akibat kesunyian

“Kumpulan sebegini sangat banyak, daripada berhubung melalui telefon kononnya untuk berkongsi cerita, kemudian mendorong seseorang untuk curang dengan pasangan mereka.

“Pokok pangkalnya, terpulang kepada iman dan pegangan seseorang. Andai tiada pilihan selain berjauhan, cubalah untuk memberi lebih banyak masa kepada pasangan,” katanya.

Selain itu, katanya, setiap pasangan juga perlu bijak membuat keputusan antara tuntutan kerja dan tanggungjawab sebagai suami­ atau isteri.

“Penting bagi pasangan untuk tahu keseimbangan antara kerjaya dan rumah tangga. Sepatutnya mereka juga kena fikir, sebab ini dipanggil fitrah di mana keingingan sentiasa disayangi, dibelai dan sebagainya penting dalam rumah tangga.

“Memang ramai yang takut balik ke tempat masing-masing kerana ketiadaan pekerjaan. Namun, adakah berbaloi terlalu kejarkan materealistik sehingga keluarga terabai,” soalnya.

Kosmo! semalam melaporkan mengenai dilema pekerja Malaysia di Singapura yang hidup tertekan apabila pasangan mereka di tanah air telah berlaku curang, selain menuntut cerai hanya ke­rana lama tidak berjumpa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN