SEBELUM ini, pelajar universiti atau Institusi pengajian tinggi (IPT) mengalami kesukaran untuk membuat latihan industri bagi melengkapkan kurikulum mereka sebelum boleh bergelar graduan ekoran penularan pandemik Covid-19 yang semakin tinggi.
Kini segalanya berubah selepas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membangunkan program latihan industri secara mobile care atau penjagaan bergerak.
Ini dilakukan dengan kerjasama daripada beberapa pemain industri perkhidmatan sosial di negara ini.
Melalui platform digital ini, pelanggan boleh menempah perkhidmatan penjagaan bergerak yang mereka mahukan. Kemudian pelajar yang mengikuti latihan industri akan pergi menyediakan perkhidmatan tersebut mengikut bidang kepakaran mereka
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
PENINGKATAN kes positif Covid- 19 melebihi 20,000 sehari di negara ini menyukarkan banyak pihak termasuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) untuk melengkapkan latihan industri yang diwajibkan kepada mereka untuk menamatkan pengajian.
Dalam hal ini, mereka berdepan dengan isu kesukaran penempatan di industri, penolakan oleh syarikat dan agensi, selain penutupan sesetengah industri disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pensyarah Kerja Sosial, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Khadijah Alavi berkata, bagi mengatasi isu ini, kebanyakan IPT melalui arahan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) telah mengguna pakai kaedah alternatif pelaksanaan latihan industri bagi penyesuaian persekitaran dan keselamatan sewaktu pandemik Covid-19.
“Latihan industri berasaskan projek komuniti secara sangkutan maya adalah alternatif kepada pelajar tahun akhir program pengajian dalam usaha mendepani krisis pandemik Covid-19.
“Pemilihan latihan industri alternatif ini berkait dengan projek sehingga memenuhi hasil pembelajaran,” katanya.
Jelasnya, bagi memastikan latihan industri untuk kaedah pembelajaran alternatif pelajar dapat diteruskan, fakulti tersebut di UKM mengorak langkah ke hadapan dengan membangunkan program latihan industri secara mobile care atau pun penjagaan bergerak.
Dr. Khadijah menjelaskan, bagi menjayakan program tersebut, pihaknya bekerjasama dengan beberapa pemain industri perkhidmatan sosial seperti MyFlex Health Group Sdn. Bhd., FixApa Sdn. Bhd., Majlis Belia Malaysia, KIDDOCARE Sdn. Bhd. dan Mindsight Sdn. Bhd.
Menurutnya, melalui program itu, ia dapat mewujudkan kerjasama pintar antara UKM dengan pelbagai agensi yang menawarkan perkhidmatan sosial kepada semua kumpulan sasar.
“Seramai 25 pelajar di peringkat fakulti telah mengikuti program latihan industri secara penjagaan bergerak ini bagi melengkapkan hasil pembelajaran mereka. Pelajar ini diselia oleh seorang penyelaras di fakulti dan enam pelatih industri.
“Penyertaan pelajar daripada empat program iaitu Kerja Sosial, Psikologi, Sains Pembangunan dan Pengajian Bahasa Inggeris terlibat dalam latihan industri ini,” terangnya.
Melalui latihan industri secara penjagaan bergerak ini, pelajar akan menyediakan perkhidmatan mengikut bidang kepakaran kumpulan sasaran antaranya, penjagaan kanak-kanak, orang kelainan upaya dan pesakit terlantar serta warga emas.

Selain itu, proses penyeliaan latihan industri secara sepenuhnya dalam talian melibatkan antara pensyarah, pelajar Pengalaman baharu latihan industri bagi pelajar IPT dan pemain industri.
Di akhir program, pelajar mampu memperoleh pengalaman latihan industri ini dengan lebih berkesan dan komprehensif.
Pelajar juga dapat membina keyakinan diri dalam membina jaringan dengan syarikat dalam industri mobile care.
Di samping itu, pelajar turut mampu melaksanakan projek memperkasakan komuniti dan kumpulan sasaran melalui latihan industri yang telah mereka lengkapkan.
Dalam pada itu, untuk kelancaran program tersebut, FixApa Sdn. Bhd. membangunkan satu platform digital dikenali CareApa bagi menyediakan penawaran perkhidmatan penjagaan bergerak untuk pelajar yang mengikuti latihan industri.
“FixApa Sdn. Bhd. telah bekerjasama dengan Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, FSSK, UKM untuk membangunkan sebuah platform, CareApa yang memberi tumpuan dalam menawarkan perkhidmatan penjagaan secara bergerak bagi warga emas dan sebagainya.
“Melalui platform digital ini, pelanggan boleh menempah perkhidmatan penjagaan bergerak yang mereka mahukan. Kemudian pelajar yang mengikuti latihan industri akan pergi menyediakan perkhidmatan tersebut mengikut bidang kepakaran mereka,” jelasnya.
Sebagai contoh, ada pelanggan yang memerlukan perkhidmatan penjagaan untuk ibu bapa bagi satu tempoh tertentu, boleh membuat tempahan melalui platform digital tersebut.
Pelajar yang sedang mengikuti latihan industri akan pergi membantu apa yang diperlukan.














