GOLONGAN autisme sememangnya mendapat stigma negatif dalam masyarakat selama ini dan kebanyakan mereka tidak mendapat layanan adil dalam semua aspek kehidupan.
Bagi memberikan gambaran positif terhadap golongan terbabit, sebuahb badan bukan kerajaan, Persatuan Kebajikan A Plus melancarkan fesyen khusus untuk mereka. Sebagaimana orang normal lain, orang autisme juga mempunyai naluri untuk bergaya.
Selain itu, persatuan itu turut memberikan harapan baharu kepada golongan autisme yang berbakat peluang kerjaya sebagai model untuk menggayakan fesyen dikenali sebagai Autism Streetwear Project itu.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————
FESYEN bukan hanya platform untuk menyampaikan keindahan rekaan semata-mata, tetapi turut memberi mesej kemanusiaan.
Antaranya kesedaran mengenai autisme yang ‘berperang’ dengan stigma negatif masyarakat sejak sekian lama.
Menyedari kepentingan fesyen dalam menyampaikan mesej tersebut, Persatuan Kebajikan A Plus yang ditubuhkan sejak tahun 2017 telah melancarkan kempen yang dinamakan Autism Streetwear Project.
Persatuan tersebut yang memberi penekanan mengenai isu-isu berkaitan autisme ingin mengajak masyarakat agar menerima dan memberi peluang mereka hidup berdikari dalam masyarakat sepertimana manusia lain.
Menurut Pengasas Persatuan Kebajikan A Plus, Dr. Khew E Joon, projek itu mempunyai matlamat yang besar dalam memberi kesedaran mengenai autisme.
“Kami tidak mahu masyarakat terus memandang serong berhubung autisme sehingga timbul perasaan malu serta takut ahli keluarga yang ada anak-anak sedemikian.
“Ekoran stigma tersebut, ada yang malu dan menyorokkan anak-anak, sedangkan jika mendapat latihan yang betul mereka boleh membesar dengan baik serta hidup berdikari,” kata anak jati Kuala Lumpur itu.
Sehubungan itu, pihaknya terpanggil untuk menggunakan fesyen sebagai medium dalam menyampaikan kesedaran tersebut kepada masyarakat menerusi koleksi pakaian dan aksesori dengan logo Autisme.
Sesuai dengan nama Autism Streetwear Project, ia memaparkan lapan koleksi gaya jalan termasuk topi, sweatshirt, baju-T, jaket dan hoodie.

Kesemua koleksi itu direka sendiri oleh kakitangan persatuan tersebut yang menggunakan fabrik kapas.
“Kami memilih fesyen gaya jalanan kerana ia merupakan segmen fesyen yang sangat digemari oleh masyarakat pada masa kini.
“Pasukan kami mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan koleksi unisex ini yang dijual bermula RM50 dan ia boleh dibeli secara online di www. autismstreetwearproject.com,” jelasnya.
Tambahnya, fesyen jalanan mempunyai persamaan dengan autisme dari segi penerimaan masyarakat pada peringkat awal yang menganggapnya budaya kurang baik, tetapi kini ia semakin diterima ramai.
Sehubungan itu, beliau berharap autisme akan berada di tempat yang lebih baik pada masa akan datang sama seperti fesyen gaya jalanan.
“Kami juga akan memperkenalkan terapi menerusi budaya jalanan seperti bermain papan luncur, tarian Hip Hop, bola keranjang dan seni gra ti untuk perkembangan kreativiti mereka,” katanya.
Tambah E Joon, pihaknya bakal melancarkan koleksi baharu pada hujung tahun ini yang berkonsepkan kelestarian alam dengan menggunakan botol plastik sebagai bahan utama.
Menariknya projek itu juga akan mendapat kerjasama daripada jenama tempatan dan antarabangsa seperti Boy London, X-Large, Extroverted Introvert dan Eliot.
Dalam pada itu, beliau ingin menggunakan fesyen bagi membuka peluang kerja kepada golongan autisme yang mana mereka akan dilatih sebagai model, pereka dan penata gaya.
E Joon memberitahu, di Malaysia golongan itu tidak dilibatkan dalam bidang fesyen dan Autism Streetwear Project merupakan platform terbaik untuk merealisasikan hasrat tersebut.
Pihaknya kini mencari lokasi sesuai untuk menempatkan kedai bagi menjual koleksi fesyen tersebut.














