TEL AVIV – Tentera udara Israel melancarkan serangan udara ke atas negara jirannya, Lebanon untuk pertama kali dalam tempoh tujuh tahun semalam selepas hari kedua tembakan roket mengenai wilayah Rejim Zionis.
Lebanon mengecam serangan itu sebagai ‘peningkatan’ yang menandakan perubahan taktik oleh Israel sementara pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meminta semua pihak yang terlibat supaya bertenang.
“Awal hari ini (semalam), sebilangan roket ditembak dari Lebanon ke wilayah Israel.
“Sebagai tindak balas, jet-jet pejuang kami menyerang lokasi pelancaran roket dan infrastruktur yang digunakan untuk keganasan di Lebanon,” kata tentera udara Rejim Zionis dalam satu kenyataan di laman Twitter.
Jet-jet Israel secara rutin menyerang sasaran pejuang Palestin di Genting Gaza dan kumpulan Hizbollah di samping sasaran Iran di Syria.
Bagaimanapun, ini kali pertama kali sejak 2014 Rejim Zionis mengebom sasaran di Lebanon, kata tentera udara Lebanon.
“Kami mengecam serangan roket oleh kumpulan bersenjata yang berpusat di Lebanon ke arah Israel.
“Kami telah menyatakan sebelum ini bahawa Israel mempunyai hak untuk mempertahankan diri,” kata jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Ned Price pula.
Stesen televisyen Lebanon, Al-Manar yang dikendalikan kumpulan Hizbollah melaporkan bahawa pesawat-pesawat Israel melancarkan dua serangan kira-kira pukul 12.40 pagi (waktu tempatan) di luar bandar Mahmudiya, sekitar 11 kilometer dari sempadan Lebanon-Israel.
Sementara itu, pasukan pengaman PBB, UNIFIL yang dikerahkan ke Lebanon sejak tahun 1978 meminta Israel dan Lebanon bertindak segera untuk meredakan ketegangan.
Jet pejuang Israel kali terakhir menyerang wilayah Lebanon berhampiran sempadan Syria pada tahun 2014.
Semalam merupakan hari kedua berturut-turut Israel melaporkan tembakan roket dari Lebanon. – AFP






