Oleh FAIZAL HAMID
ANTARA eksperimentasi trend yang menarik sejak kebelakangan ini adalah penggayaan gaun yang dipadankan dengan seluar sebagai gaya alternatif yang cukup chic dan segar.
Apapun, untuk lebih menyerlah anda juga perlu bijak bermain dengan tekstur, warna, reka corak atau cetak serta mendapatkan inspirasi daripada gaya jalanan terkini.
Paling penting, anda perlu memilih seluar yang sesuai dan sempurna untuk digayakan bersama gaun.
Untuk lebih gaya, disarankan anda mendapatkan seluar berona hitam dan gelap kerana ia paling mudah untuk disuai padan dengan pelbagai gaun tanpa perlu berfikir panjang.
Gandingan gaun, seluar dan kasut tumit tinggi juga dapat memberikan ilusi ketinggian dan membangkitkan aura feminin.
Pastinya denim adalah antara pilihan fabrik yang cukup bersahaja dan cool. Gandingkan jean kegemaran anda dengan gaun yang menarik untuk gaya santai.
Kunci utama trend tersebut adalah keberanian bereksperimentasi. Ia memberikan pengalaman paling ceria serta dapat menyerlahkan kreativiti dan individualiti dalam berpakaian.
Berikut panduan gaya kombinasi gaun dan seluar.
1. Kombinasi gaun, seluar
Gandingan gaun dan seluar dalam rona neutral, seperti hitam, putih dan perang cukup ringkas, sofistikated dan anggun.
Jaket, blazer atau kot dalam rona kontras juga dapat menyuntik elemen berani pada penampilan keseluruhan.
Pastinya kombinasi gaun dan seluar juga lebih menyerlah digandingkan dengan blazer atau jaket.
Padanan kemeja, gaun dan baju panas (sweater) potongan cropped cukup menarik dipadankan dengan kot labuh serta kasut pumps sebagai pelengkap gaya.
2. Saiz besar
Jika anda gemarkan gaya saiz besar, pilihan yang tepat adalah padanan gaun atau top dan seluar yang keduanya dalam potongan longgar atau kembang, manakala skaf serta tudung sebagai pelengkap gaya.
Kombinasi padanan gaya ini cukup selesa, santai dan bersahaja. Untuk gaya kasual dan ranggi padankan gaun kemeja (shirtdress) dengan seluar cropped dan kasut pumps.

3. Tekstur fabrik berbeza
Seimbangkan gaya anda dengan padanan pakaian yang sofistikated dan ringkas. Contohnya seperti gandingan gaun sutera dan leggings, gaun ropol dengan skinny jean.
Tekstur fabrik yang berbeza juga dapat menjadikan gaya lebih menarik dan kontemporari.
Bagi mendapatkan gaya yang paling sesuai dengan anda, jangan takut untuk bereksperimentasi bersama variasi labuh dan kadar banding pakaian yang berbeza.
Gaun pendek cukup ceria dan mudah dipadankan dengan seluar potongan kembang dan frayed hem jean.
Bagi gaun yang sedikit labuh pula, pastikan ada belahan di bahagian tepi atau di mana sahaja untuk memperlihatkan seluar. Gaya anggun itu boleh digayakan oleh sesiapa sahaja.
4. Aksesori
Untuk lebih hebat, tentunya jangan lupa lengkapkan gaya anda dengan aksesori.
Gayakan tali pinggang ala korset pada kombinasi gaun atau seluar untuk menyerlahkan bahagian pinggang serta pakailah anting-anting unik untuk gaya lebih edgy.
Lengkapkan gaya keseluruhan dengan kasut seperti fringed mules, sandal atau slides dengan hiasan (embellished).

5. Seluar yang sesuai
Dapatkan seluar dengan potongan streamlined.
Seluar yang anda pakai tidak perlu terlalu banyak poket, lipatan atau sulaman bagi mengelakkan kesan timbul yang kurang menarik ketika gaun dipakai di atasnya.
Jean potongan lurus dan legging yang seakan seluar juga merupakan pilihan lain yang menarik dipadankan dengan gaun.
—————————————————————————————————————————————
FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen,
Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka,
Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.














