GAMBAR kenangan Irfan (dua dari kanan) ketika menerima sijil penghargaan selaku peserta Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN ke Sarawak pada tahun 2019.

Bakat kepimpinan bukan untuk bermegah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK di bangku sekolah lagi, Muhammad Irfan Arif Mohammed Ridzuan, 22 cenderung melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kokurikulum yang mampu memberi nilai tambah kepada dirinya.

Dek kerana minatnya itu, dia yang mesra dipanggil Irfan kini tetap tidak mahu ketinggalan untuk terus bergiat aktif pada setiap program persatuan yang dianjurkan di tempat pengajiannya sekarang.

Anak muda itu kini belajar di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sistem Maklumat, Perkomputeran Perniagaan.

Penglibatan aktifnya itu mendapat pengiktirafan sehingga dianugerahkan Tokoh Siswa Kategori Kepimpinan oleh fakultinya.

Biarpun pencapaian tersebut hanya di peringkat fakulti, namun pemilihan dibuat selepas pihak terbabit menilai dan melihat beberapa aspek seperti penglibatan, pencapaian akademik serta nilai tambah lain.

Memenuhi kriteria ditetapkan, Irfan yang berasal dari Kajang, Selangor itu terpilih daripada enam pelajar yang dicalonkan bagi anugerah tersebut.

Tatkala anak muda seusianya gemar menghabiskan masa dengan melakukan aktiviti-aktiviti diminati, dia pula sibuk dengan menyertai persatuan.

Katanya, kesibukan berpersatuan langsung tidak membuatkannya lelah, sebaliknya dilihat sebagai peluang keemasan untuk mengasah bakat kepimpinan yang ada dalam diri.

“Saya mahu melihat apa yang ada dalam diri dan peluang memperluaskan networking dalam bidang kepimpinan.

“Tambahan pula, banyak input yang dapat diperoleh daripada setiap program disertai. Saya banyak menambah ilmu tentang bagaimana menguruskan sesebuah organisasi dengan betul,” ujarnya.

Biarpun aktif dalam aktiviti kampus, namun anak kedua daripada tiga adik beradik ini tahu membahagikan masa antara pelajaran dan aktiviti persatuan yang disertainya.

Tidak mahu masa dimilikinya terbazir walaupun sesaat, Irfan akan memberi sepenuh tumpuan kepada apa yang diajar pensyarah ketika sesi pembelajaran supaya setiap input yang disampaikan diterima dengan baik.

Dia yang juga merupakan Presiden Sekreteriat Mahasiswa fakulti berkenaan berkata, dia hanya memfokuskan aktiviti kepimpinan pada sebelah malam apabila kesemua tugasan akademiknya selesai.

IRFAN (dua dari kiri) sentiasa fokus dan komited dengan apa yang dilakukan hingga boleh mengatasi setiap cabaran yang datang sebagai pemimpin pelajar.

Mengetuai pelbagai organisasi menyebabkan Irfan tidak terkecuali daripada berdepan dengan cabaran.

Begitupun, bakat kepimpinan yang ada padanya begitu terserlah apabila dia berjaya menangani setiap cabaran yang datang dengan baik.

Selain menjadikan pengurusan emosi dan mencari jalan terbaik dalam menyelesaikan masalah sebagai kunci utama, Irfan beryukur kerana mendapat kerjasama daripada rakan sepasukan.

Menurutnya lagi, selain mengagumi kedua-dua ibu bapanya dan salah seorang senior dalam aspek kepimpinan, dia begitu kagum melihat kredibiliti ditunjukkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

“Karisma sebagai seorang pemimpin yang ditunjukkan oleh Khairy memberikan inspirasi kepada saya untuk menjadi seorang pemimpin.

“Antara momen indah yang menambahkan kekaguman kepada beliau adalah ketika mendengar ucapan dan nasihat secara terus kepada saya sewaktu menjadi salah seorang sukarelawan Sukan Sea Kuala Lumpur 2017,” terangnya.

Menurutnya lagi, dia mahu melihat lebih ramai anak muda yang hebat dari segi intelektual, kepimpinan dan aspekaspek lain berjaya dilahirkan pada masa depan.

Justeru, sebaik tamat pengajian kelak, Irfan bercita-cita untuk berbakti semula kepada institusi pengajian yang pernah disertainya untuk bersamasama membina kepimpinan dalam diri anak muda sepertinya.

“Cita-cita dan harapan saya ini sejajar dengan slogan yang saya sentiasa pegang iaitu ‘Bersama Kita Menggapai Kecemerlangan’ dan ‘Ayuh Kita Hebat Bersama’,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN