JAKARTA – Gunung berapi Sinabung di Sumatera Utara, Indonesia meletus tengah hari tadi dan membebaskan asap tebal beserta debu setinggi 4,500 meter (m) di udara.
Menurut agensi geologi, letusan tersebut berlaku selama 12 minit pada pukul 1.20 tengah hari (waktu tempatan).
“Asap dan debu yang dibebaskan mencecah setinggi 4,500 m di udara dan keadaan itu berlaku untuk satu tempoh yang lama,” kata ketua pemantau Gunung Sinabung, Armen Putra.
Berdasarkan gambar yang diambil oleh agensi geologi tersebut, kelihatan asap berkepul-kepul yang tebal dan hitam keluar dari kawah gunung berapi itu.
Kepulan asap itu bergerak sehingga 1,000 m dari puncak gunung.
Setakat ini, tiada arahan pemindahan dikeluarkan terhadap penduduk setempat kerana serpihan letusan tidak mengenai perkampungan terdekat, selain tiada gangguan terhadap penerbangan di kawasan sekitar dilaporkan.
Bagaimanapun pihak berkuasa mengarahkan penduduk agar mengelak daripada berada dalam zon lima kilometer dari kawah gunung berapi itu.
Gunung berapi Sinabung setinggi 2,460 m tidak aktif selama beratus tahun sebelum kembali aktif pada tahun 2010 dan meletus sehingga meragut dua nyawa. – AFP