“BUJANG Berani adalah mereka yang pernah berperang dan memenggal kepala musuh.
“Kepalalah yang menjadi bukti kehebatan dan kehandalan seseorang itu. Berapa (banyak) kepala yang berjaya dipenggal dalam sesuatu serangan, dialah yang hebat,” jelas Leftenan Kolonel (B) Linus Lunsong anak Janti tentang syarat menjadikan seseorang digelar sebagai Bujang Berani dalam kalangan masyarakat Sarawak.
Namun menurut bekas Pegawai Pemerintah Rejimen Komando ke-22 itu, pada zaman sekarang, ia hanya diterjemahkan kepada berapa banyak seseorang itu terlibat dalam pertempuran dan musuh yang berjaya ditembaknya.
Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my
“BUJANG Berani adalah mereka yang pernah berperang dan memenggal kepala musuh.
“Kepalalah yang menjadi bukti kehebatan dan kehandalan seseorang itu. Berapa (banyak) kepala yang berjaya dipenggal dalam sesuatu serangan, dia lah yang hebat,” jelas Leftenan Kolonel (B) Linus Lunsong anak Janti dalam sebuah dokumentari.
Tambahnya, itu adalah satu-satunya syarat untuk menjadi seseorang yang diistilahkan sebagai Bujang Berani dalam kalangan masyarakat Sarawak.
Kata-kata itu diungkapkannya dalam episod satu dokumentari berjudul Bujang Berani yang bertajuk Penjejak Iban.
Menurut Linus yang merupakan bekas Pegawai Pemerintah Rejimen Komando ke-22, Bujang Berani pada masa dahulu dinilai berdasarkan jumlah kepala yang berjaya dipenggal oleh seseorang itu. Namun, pada zaman sekarang, ia sudah tidak relevan kerana tidak boleh lagi memenggal kepala. Sebaliknya, ia hanya diterjemahkan kepada berapa banyak seseorang itu terlibat dalam pertempuran dan musuh yang berjaya ditembaknya.

Begitulah ukuran kehebatan Bujang Berani.
“Pada zaman 1940-an hingga 1950-an, mereka (wira Sarawak) yang pernah bertugas di Tanah Melayu pada ketika itu juga digelar Bujang Berani.
“Ini disebabkan mereka mempunyai keberanian untuk berjuang meninggalkan Sarawak dan berjuang di Tanah Melayu. Jadi, mereka juga boleh dikatakan Bujang Berani,” terangnya.
Semangat kepahlawanan Bujang Berani sebenarnya masih tersemat di setiap jiwa anak Iban atau anak Sarawak yang pernah berkhidmat dengan pasukan keselamatan negara.
Dalam pada itu, kehandalan Bujang Berani dalam pertempuran juga disedari pemerintah Sarawak, Charles Brooke pada satu ketika dahulu.
Pada masa itu juga lahirnya Sarawak Rangers yang merupakan sebuah pasukan keselamatan yang disegani dalam sejarah pertahanan Bumi Kenyalang itu.
Leftenan Kolonel (B) Robert Rizal Abdullah pula menjelaskan, pada suatu ketika dahulu, susah bagi Brooke untuk mengalahkan orang-orang Iban yang memberontak.
“Jadi tercetus satu idea daripadanya iaitu untuk mengalahkan orang Iban ialah dengan menggunakan orang Iban juga,” katanya.

Tambah Robert Rizal, Sarawak Rangers diasaskan pada tahun 1862 dengan kekuatan pasukan pada ketika itu seramai 32 orang.
Selain itu, Bujang Berani daripada Sarawak Rangers ini turut berjuang di Tanah Melayu ketika zaman penjajahan tentera Jepun.
Robert Rizal berkata, semasa darurat di Malaya diisytiharkan pada tahun 1948, tentera British pada ketika itu turut memerlukan orang Iban untuk menjadi penjejak bagi tentera-tentera Komanwel.
“Empat puluh orang Iban pertama dibawa ke Malaya pada ketika itu dan mereka diserapkan menjadi pasukan Penjejak Iban untuk membantu tentera-tentera Komanwel,” jelasnya.
Bujang Berani merupakan satu dokumentari yang mempamerkan kisah-kisah patriot kelahiran Sarawak yang digelar Bujang Berani. Ia disiarkan di TV Sarawak (TVS) iaitu stesen televisyen pertama yang dimiliki oleh kerajaan negeri dan beroperasi di Sarawak.
Dokumentari ini memaparkan kisah perwira-perwira Sarawak yang berkhidmat sebagai tentera, perajurit atau pasukan keselamatan negara menerusi pelbagai kumpulan atau operasi antaranya Penjejak Iban, Sarawak Rangers, Pengakap Sempadan, Komando, Pasukan Polis Hutan Sarawak, Rejimen Renjer Diraja dan lain-lain.
Pengarah Bujang Berani, Yusmal Ghazali berkata, dokumentari itu mengetengahkan pasukan-pasukan keselamatan yang memainkan peranan penting dalam pertempuran yang berlangsung di Semenanjung Malaysia dan Sarawak semasa zaman insurgensi.
“Saya memilih untuk menerbit dan mengarahkan dokumentari bersiri ini kerana kita perlu sentiasa mengingatkan masyarakat tentang pengorbanan yang telah dicurahkan mereka yang telah berkhidmat untuk negara, terutama yang mempertahankan kedaulatan negara.
“Apabila kita tahu tentang pengorbanan ini, kita akan lebih menghargai pasukan keselamatan kita. Jadi, keinginan untuk terus mengingatkan masyarakat telah melahirkan Bujang Berani sebuah dokumentari biografi mengenai kisah kepahlawanan patriot kelahiran Sarawak,” jelasnya.
Dokumentari mingguan yang mula disiarkan sejak 22 Julai lalu itu dibahagikan kepada enam episod dan durasi masa setiap episod selama 30 minit. Setiap episod memaparkan detik-detik mencabar dalam sejarah pertahanan negara khususnya semasa darurat.
“Pada masa itu, Malaysia berhadapan dengan dua pemberontakan komunis. Pertama di Semenanjung Malaysia iaitu pemberontakan Parti Komunis Malaya.
“Kedua ialah pemberontakan Parti Komunis Kalimantan Utara yang berlaku di Sarawak dari tahun 1962 hingga 1990,” jelas Yusmal.

Patriot atau Bujang Berani adalah bintang sebenar dokumentari ini.
Kongsi Yusmal, sebenarnya, ada ramai perwira di luar sana dan ia adalah satu tugas yang berat untuk memilih siapa yang akan diketengahkan dalam enam episod Bujang Berani.
Yusmal menjelaskan, selepas berunding dengan mentornya iaiatu Leftenan KoloneL (B) Linus Lunsong dan James Ritchie, dia telah memutuskan untuk menampilkan beberapa pejuang untuk dokumentari Bujang Berani.
Antara patriot atau Bujang Berani yang terlibat dalam dokumentari tersebut adalah Awang Rawing, Menggong Panggit, Wilfred Gomez Malong, Rasli Buang, Ngalinuh Bala, Etin Bijan, Dajai Angie, Lenggu Cina, Robert Rizal dan Peter Bat Wan.
Kisah mereka ini dibahagikan kepada enam episod iaitu Penjejak Iban, Pengakap Sempadan, Komando Kampung Buntal, Wira 1 Renjer dan Ops Jelaku VI.
“Daripada 10 Bujang Berani ini, hanya empat yang masih hidup iaitu Etin Bijan, Dajai Angie, Robert Rizal dan Peter Bat Wan. Etin Bijan ialah satu-satunya anak Sarawak yang masih hidup yang menerima pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP), anugerah keberanian tertinggi negara. Etin menghampiri usia 90 tahun.
“Terdapat banyak seperti Etin di luar sana yang sudah tua dan uzur, namun mempunyai kisah-kisah kepahlawanan yang menakjubkan.
“Misi peribadi saya dengan bantuan mentor saya, adalah untuk mencari mereka dan mendokumenkan cerita mereka sebelum mereka meninggal dunia,” ujarnya.
















