fbpx

Deposit SSPN RM1.26 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mencatat peningkatan jumlah deposit bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) melalui Kempen Ganjaran Kesetiaan SSPN-i 2021 sebanyak RM244.71 juta.

Kempen yang berlangsung pada 24 Februari hingga 30 April lalu itu telah mencatat pertambahan dalam jumlah deposit sebanyak RM121.74 juta atau 99 peratus berbanding RM122.97 juta pada tahun 2020.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, peningkatkan jumlah simpanan ini jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia terus membudayakan amalan penabungan walaupun negara kini berada dalam keadaan pandemik Covid-19.

Menurut beliau, Kempen Ganjaran Kesetiaan SSPN-i 2021 pada kadar satu peratus dianjurkan oleh PTPTN sebagai tanda penghargaan kepada pendeposit dan hadiah istimewa kepada mereka yang telah membuat simpanan dalam jangka masa panjang.

Pendeposit SSPN-i sebelum tahun 2018 yang membuat simpanan terkumpul dengan jumlah minimum sebanyak RM500 dalam tempoh promosi serta tidak membuat pengeluaran simpanan daripada akaun sehingga 30 Jun 2021 layak menyertai kempen tersebut.

“Ganjaran Kesetiaan pada kadar satu peratus tersebut telah dimasukkan ke dalam 44,561 akaun SSPN-i yang layak dengan peruntukan berjumlah RM2.43 juta.

“Ia merupakan manfaat tambahan selain dividen tahunan yang diberikan oleh PTPTN kepada pendeposit SSPN-i atas simpanan yang dibuat dalam tempoh kempen,” katanya dalam kenya­taan.

Menurut Ahmad Dasuki, pendeposit SSPN-i yang terlibat boleh membuat semakan Ganjaran Kesetiaan di penyata SSPN-i melalui Portal Rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my.

Selain itu, sehingga Jun lalu, jumlah deposit SSPN yang dite­rima bagi tahun ini adalah sebanyak RM1.26 bilion atau 70 peratus daripada sasaran tahun 2021 berjumlah RM1.8 bilion.

Tambah beliau, sebanyak 192,006 akaun baharu telah dibuka atau 48 peratus berban­ding sasaran tahun 2021 sebanyak 400,000 akaun.

“PTPTN mengucapkan terima kasih kepada pendeposit SSPN-i yang setia membuat simpanan untuk jaminan masa depan pendidikan.

“Teruskan membuat simpanan di dalam SSPN-i kerana ia menawarkan pelbagai keistimewaan kepada pendeposit seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, dividen yang kompetitif, simpanan dijamin oleh kerajaan, pemberian geran sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga dan patuh syariah,” ujarnya.

Ahmad Dasuki berkata, pendeposit SSPN-i juga berpeluang memenangi hadiah bernilai hampir RM240,000 melalui promosi Stay Safe & Win SSPN-i 2021 yang sedang berlangsung sehingga 30 September ini dengan tawaran hadiah utama berupa kereta Proton X50.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI